MTL: Pengusaha chalet, resort di Pulau Terengganu tutup secara sukarela

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penutupan chalet dan resort di pulau-pulau negeri Terengganu sepanjang tiga bulan terakhir sebelum ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) bukan disebabkan oleh arahan kerajaan, sebaliknya ia merupakan keputusan sukarela daripada pengusaha.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, tempoh tersebut juga digunakan oleh pengusaha untuk melaksanakan promosi serta menjalankan penyelenggaraan kemudahan mereka, seperti pembaikan bot.

- Advertisement -

“Tidak ada istilah penutupan atau kerugian bagi pengusaha. Saya telah bertemu dengan pengusaha, dan memang inilah tradisi di Terengganu, di mana pada tiga bulan terakhir, operasi perniagaan diperlahankan untuk memberi tumpuan kepada promosi di dalam dan luar negara.

“Sekarang ini, pengunjung sudah mulai berkurang dan saya melihat promosi bilik penginapan di halaman hotel-hotel di pulau sudah menawarkan diskaun yang tinggi untuk menarik pelancong.

“Puncaknya dijangka pada hujung Oktober atau awal November, di mana pulau akan ditutup,” katanya.

Beliau berkata selepas Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu International Paramotor Challenge Friendly Match di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Mohd Fadhli Jusoh yang mewakili Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu.

Mengenai program pada musim Monsun Timur Laut , kata beliau, beberapa acara akan dilaksanakan, tetapi tidak melibatkan aktiviti laut.

“Kita menghala ke tasik Kenyir, Monsoon Casting, Rainforest Challenge untuk peminat 4×4, Motocross dan sebagainya.

“Itu yang kita beri tumpuan kepada Monsun Timur Laut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2024

- Advertisement -