Aliran air masuk ke Kampung Ijok berjaya dikawal

- Advertisement -

KUALA SELANGOR: “Aliran air masuk ke dalam Kampung Ijok dapat dikawal menjelang jam 8.05 pagi tadi atas tindakan pihak kontraktor Jabatan Parit Dan Saliran (JPS).”

Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Jefri Mejan berkata, ia dilaksanakan dengan mengawal aliran masuk ke kampung dan kebun di situ.

“Terima kasih anak-anak muda Ijok yang memantau kerja-kerja ini malam tadi bagi memastikan kontraktor ini menjalankan kerja-kerja diberikan untuk pembaikan.

- Advertisement -

“Selepas ini, kami akan usahakan untuk pam-pam sementara bagi membantu mengeluarkan air yang terdapat di kawasan kampung,” katanya demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini, yang mengulas mengenai situasi banjir di DUN Ijok.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Achdemaza Fame Ghazali yang merupakan seorang anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) memaklumkan bahawa beliau menerima maklumat pada berkaitan mangsa yang terperangkap dalam banjir di situ.

“Kami terima maklumat jam 12.15 malam dari penduduk kampung untuk bantu keluarkan mangsa banjir. Seorang anak lelaki dan seorang makcik yg berkerusi roda. Operasi diteruskan walaupun hujan sudah mulai turun dengan lebat.

“Ketika kami meranduk air dari jalan luar menghala ke rumahnya, awalnya air pada paras paha. Namun tiba-tiba tenggelam sampai paras pinggang. Alhamdulillah team kami diingatkan untuk memakai alat pelampung PFD ketika lakukan rescue,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin membantu menyelamatkan mangsa banjir agar tidak mengambil mudah berkaitan dengan keselamatan diri sewaktu memberikan bantuan kepada orang lain. – HARAKAHDAILY 6/10/2024

- Advertisement -