
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 7 negeri sehingga jam 7 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu seluruh kawasan di negeri Perlis dan Kedah. Di Pulau Pinang pula melibatkan kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang.
“Manakala kawasan di Kelantan pula melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. Begitu juga di tiga kawasan di Terengganu iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman turut diramalkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
“Seterusnya di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan. Di Selangor pula melibatkan kawasan di Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Turut dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka. Di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Port Dickson dan Rembau. Di Johor pula, kawasan terlibat adalah Tangkak dan Segamat.
Menerusi kenyataan itu lagi, beberapa kawasan di Sabah turut diramalkan. Ia melibatkan kawasan Pedalaman dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau.
Manakala di Sarawak, turut diramalkan di Kuching, Serian, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang. Seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan turut diramalkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2024




















