
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata penyatuan ummah sentiasa menjadi kepentingan yang mesti diusahakan oleh umat Islam demi memelihara maslahah umat sejagat.
Beliau menyatakan demikian susulan menyertai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya dan AJK lain telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut diadakan bertujuan untuk bertemu Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah dan timbalnanya, Ustaz Jamali Mohd Adnan.
“Alhamdulillah, pertemuan yang cukup harmoni. Ini kerana kebiasaan orang yang berilmu, memahami akan sentiasa wujudnya perbezaan pandangan, tidak akan mencari sebab untuk bertelagah, melainkan berusaha mencari ruang untuk mengurangkan pertembungan.
“Perbicaraan umat yang terkait pegangan tidak kira sama ada asyairah, maturidiah, salaf dan sebagainya akan menjadi panas bila isu ini dimainkan dengan sentimen,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.
Namun Nushi berkata, keharmonian akan dicapai sekiranya wujud sikap saling hormat menghormati dan bertukar pandangan dalam mencari solusi.
Katanya lagi, sebagaimana para imam besar bagi empat mazhab yang berbeza pandangan, namun mengekalkan akhlak menghormati pandangan masing-masing selagi disandarkan kepada dua sumber utama Islam iaitu Al Quran dan sunnah baginda SAW.
“Kita tidak mahu Islam menjadi sasaran untuk dilaga-lagakan, melainkan sedaya mungkin berusaha mencari penyelesaian, dan langkah-langkah yang mendamaikan.
“Ianya demi mengelakkan polemik yang boleh merugikan kesatuan umat Islam,” katanya yang juga Setiausaha DUPP.
Sehubungan itu, beliau turut berkata di peringkat DUPP sentiasa mengharapkan persefahaman, saling menghormati pandangan dan sedaya mungkin mengelakkan pertembungan yang tajam di antara salaf dan khalaf.
Semoga peringatan dari Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 103 sentiasa menjadi pegangan umat Islam untuk sentiasa memperteguhkan kesatuan ummah dengan tali Allah, yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”. – HARAKAHDAILY 4/10/2024











