
PARIT: “Saya akan pastikan penternak kecil-kecilan terus dibantu melalui sokongan kerajaan dalam pelbagai medium seperti latihan teknikal dan bantuan subsidi.”
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, sektor penternakan memainkan peranan penting dalam membekalkan daging tempatan.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan penternak tempatan terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.
Ismi berkata demikian ketika turun padang untuk bertemu dengan usahawan penternakan lembu di kawasan Parit bagi meninjau perkembangan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan penternak tempatan.
“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuhkan sektor pertanian dan penternakan di kawasan Parit,” katanya.
Sehubungan iti, beliau telahberpeluang berinteraksi dengan salah seorang penternak lembu, Shahrun Nizar Kadir, yang merupakan peserta bimbingan daripada Pusat Pertanian Parit dan Pembiakan Negeri Perak (PPPNP).
Ismi turut meninjau keadaan kandang lembu dan mendengar maklum balas daripada penternak mengenai cabaran yang dihadapi, termasuk kos makanan ternakan dan penjagaan kesihatan lembu.
“Rakyat di luar bandar digalakkan agar dapat perkasakan ekonomi mereka melalui aktiviti penternakan sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2024




















