
KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berharap segala urusan projek pemecah ombak yang sedang dijalankan dipermudahkan.
Menurutnya, beliau turun membuat pemantauan sekejap di tapak projek itu di kawasan Telaga Bersejarah Pantai Batu Rakit.
“Tengok lebih dekat kerja-kerja yang sedang berjalan,” katanya menerusi laman sosial beliau, hari ini.
Sebelum ini, beliau memaklumkan empat buah pulau buatan akan disiapkan tahun ini di perairan Pengkalan Maras-Mengabang Kapal-Kampung Tanjung Batu Rakit itu sebagaimana dijanjikan pihak pelaksana projek.
Justeru, beliau meminta supaya dilaksanakan sekali gus bukan satu persatu kerana dibimbangi musim tengkujuh yang akan tiba tidak lama lagi.
Katanya, usaha yang sedang dilakukan itu dapat menyelamatkan pantai seluruh DUN Batu Rakit dengan 16 buah pulau keseluruhannya sehingga ke Pantai INSTEP Kampung Mengabang Panjang.
“Semoga projek ini berjalan lancar demi kebaikan rakyat Batu Rakit,” ujarnya yang juga Pengerusi MTD DUN Batu Rakit.
Pada Julai lalu, beliau mengikuti taklimat Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Kuala Nerus di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit.
Ini susulan jajaran kawasan pantai itu berdepan dengan suasana hakisan yang agak kritikal setiap kali musim tengkujuh.
Justeru, sebelum musim tengkujuh, beberapa buah pulau buatan dijangka siap khususnya di beberapa lokasi kritikal. – HARAKAHDAILY 1/10/2024











