
KUALA LUMPUR: “Boleh pula Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam meluluskan Penilaian Impak Alam Sekitar ( EIA) untuk projek Penang South Island (PSI) tetapi menjadi perwira dalam pembatalan EIA Lapangan Terbang Tioman.”
Itu penegasan Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (Lekas), Zikrullah Ismail yang berkata, beliau berasa amat simpati dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang didakwanya semakin lama berada dalam posisi tidak menyerlah.
“Agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ini besar tetapi sayangnya posting media sosial Kementerian dan peribadi Menteri NRES pun tak ada interaksi (engagement).
“Kami bagi pejuang Penang Tolak Tambak anggap ini adalah kafarah (boleh baca sebagai karma bagi sebahagian orang) apabila beliau bersifat selektif dalam nak jadi orang yang memimpin agenda berkaitan kelestarian.
“Dalam kes tambak laut kita boleh nilai sikap beliau dalam kes pembatalan EIA Lapangan Terbang Pulau Tioman berbanding dengan EIA Penang South Reclaimation,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun media sosial Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, NRES di bawah kepimpinan Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad telah menurun (downgrade) daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
“Ini ditambahkan lagi dengan portfolio air dan tenaga yang begitu strategik juga hilang dalam genggaman.
“Topik ESG kementerian beliau patut lebih laju ke depan tetapi sayangnya buat program pun tak nampak engagement sambutan warganet.
“Saya mengikuti perkembangan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES ) yang mengumumkan pembatalkan EIA Lapangan Terbang Tioman yang dilaporkan dalam Buletintv3.my pada bulan Ogos 2023,” jelasnya.
Laporan media tersebut, ujarnya lagi, menyatakan daripada laporan EIA kementerian mendapati bahawa cadangan itu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.
“Oleh itu, Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut.
“Keputusan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang itu selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab,” hujahnya.
Kementerian telah mengambil maklum kebimbangan disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut,” hujahnya.
Zikrullah berkata, perbandingan kelulusan EIA melalui NRES kelihatan tindakan tidak konsisten dalam soal pemeliharaan dan pemuliharaan.
“Ini dapat ditafsirkan bahawa Pulau Tioman lebih terpelihara berbanding Selatan Pulau Pinang akibat tambakan laut PSR,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sejauh manakah Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kekuatan kakitangan untuk menyelia seberapa banyak projek yang telah diluluskan EIA seperti Projek PSR ini.
“Maka saya mahu kefahaman, sejauh mana pegawai Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang mampu kejar pelaku pencemaran dan mencari punca pencemaran selut di sekitar kawasan tambak laut selatan Pulau Pinang.
“Akhirnya, seperti yang dijangka EIA dah lulus, nelayan pantai dan penduduk setempat telah mula impak negatif.
“Siapa yang tinggal di sekitar pesisir pantai selatan ini dah kena hadap pencemaran tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2024




















