Demi kebenaran: PMX digesa segera saman Bloomberg

Abdul Basith Abdul Halim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) agar segera menyaman Bloomberg sekiranya pendedahan yang dilakukan agensi akhbar antarabangsa tersebut baru-baru ini berunsur fitnah.

Ketua Penerangannya, Abdul Basith Abdul Halim berkata, biarpun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Perdana Menteri telah menafikan dakwaan Bloomberg tersebut, tetapi kredibiliti PMX perlu dipulihkan.

- Advertisement -

“Rakyat perlu disajikan dengan kebenaran bukan penafian semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dakwaan yang dilemparkan Bloomberg terhadap PMX akhir-akhir ini cukup serius. 

Dakwaan tersebut, katanya lagi, perlu diberikan perhatian mendalam kerana ia melibatkan kredibiliti PMX sebagai seorang pemimpin negara yang berhempas pulas mahu menokhtahkan rasuah di Malaysia.

“Rakyat Malaysia tertanya-tanya, benarkah apa yang dilaporkan agensi media antarabangsa tersebut? 

“Ini kerana PMX dilaporkan telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan siasatan terpilih terhadap kes-kes melibatkan rasuah berprofil tinggi. 

“Sudah tentu dakwaan ini amat menyimpang dengan apa yang diperjuangkan PMX selama lebih suku abad,” jelasnya.

Tambah beliau, persoalan pertama, benarkah dakwaan bahawa PMX telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak menyiasat bekas Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen baharu bernilai satu bilion ringgit?

Beliau juga menegaskan PMX juga perlu memberikan penjelasan, adakah beliau terlibat mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM agar melakukan siasatan terpilih terhadap musuh-musuh politik termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin?

“Jika tiada penjelasan yang tuntas, sudah pasti rakyat menganggap laungan reformasi dan perangi rasuah hanyalah sebuah retorik politik semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

- Advertisement -