‘PH-BN lahirkan menteri yang biadap’ – Roslan Shahir

Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan Menteri yang dilahirkan daripada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menunjukkan sikap biadap apabila mempermainkan isu agama.

Terdahulu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak, Tiong King Sing dilaporkan oleh media tempatan ketika berucap dalam satu majlis kebudayaan Cina di Mahkota, Johor dan dikatakan secara berjenaka menyebut bahawa jika tidak keluar mengundi, ia mungkin akan memberi isyarat sokongan kepada pandangan konservatif PAS. 

- Advertisement -

Dalam ucapannya, Tiong merujuk kepada seorang wanita yang memakai skirt di atas lutut dan berjenaka mengenai perlunya mempertahankan hak untuk berpakaian sedemikian, atau mereka mungkin kehilangan peluang untuk melakukannya pada masa akan datang.

Susulan itu, Roslan berkata, itulah contoh Menteri PH-BN yang berfikiran sempit, yang mana beliau sepatutnya berkempen dengan matang dan tidak perlu menampilkan isu agama, terutama Islam untuk dijadikan bahan lawak jenaka.

Laporan Malay Mail yang melaporkan mengenai kenyataan Tion King Sing baru-baru ini.

“Bayangkan jika penceramah Perikatan Nasional (PN) pula membuat senda dan lawak terhadap nilai dan kepercayaan agama lain.

“Sejak berkuasa PH-BN berjaya lahirkan ramai menteri biadap yang berani memperlekeh dan menghina agama Persekutuan. 

“Menyinggung dan menyerang PAS dan pimpinannya perkara biasa, tetapi bila celupar dan berani menggunakan agama sebagai bahan senda gurau kononnya, anda memang biadap dan penghasut,” katanya dalam media sosial miliknya, hari ini.

Sehubungan itu, Roslan berharap agar pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Mahkota yang bakal berlangsung pada Sabtu, 28 September ini, dan rakyat Malaysia amnya agar menyedari perkara itu.

“Di hadapan pengundi Melayu mereka guna skrip lain, tetapi di hadapan pengundi bukan Melayu mereka membakar api kebencian terhadap Islam dengan harapan pengundi mengundi mereka dan menolak PN.

“Budaya rasis dan ekstrem ini semakin subur. 

“Jangan izinkan maruah kita dipermain oleh si biadap seumpama ini. Berani kerana benar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -