
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 20 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kuala Ibai, dekat sini hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.
“Dalam tiga bulan lagi kita mari survey tengok spesies ikan apa yang datang bertamu,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau.
Katanya, dengan keadaan cuaca mendung di laut pagi ini, beliau dengan pihak berkenaan turun dengan harapan yang bersinar.
“Tanggungjawab kita sebagai hamba untuk berusaha. Rezeki adalah urusan Yang Maha Kuasa,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Menurutnya, berat setiap unit tukun itu ialah 17 tan yang diperbuat daripada konkrit gred 35 dengan tetulang besi kira-kita satu tan bagi setiap unit.
Katanya lagi, lokasi yang dilabuhkan turun tiruan itu adalah lima batu nautika dari pantai dengan kedalaman laut kira-kira 20 meter.
Sebelum ini, beliau memaklumkan akan ada kejutan besar pada penutup Program Labuh Tukun, 10 Oktober depan di perairan Marang.
Menurutnya, ia merupakan siri terakhir program melabuhkan tukun di perairan Terengganu.
Katanya, pada tahun ini mencatatkan rekod terbesar jumlah tukun yang dilabuhkan dalam setahun iaitu sebanyak 100 unit.
Ini, jelasnya melalui beberapa siri program labuh tukun melibatkan daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Untuk rekod, pendaratan ikan marin mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus bagi tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah pendaratan sebanyak 46,643.45 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM533 juta. – HARAKAHDAILY 26/9/2024











