
PARIT: “Golongan bekerja sendiri dan suri rumah di Malaysia seharusnya menyertai pencaruman di bawah skim keselamatan sosial yang ditawarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya dalam situasi yang tidak dijangka.”
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata demikian ketika merasmikan program Ceramah Skim Caruman untuk Golongan Bekerja Sendiri dan Suri Rumah yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Masjid Jamek Kota Kanan. di sini.
Menurutnya, program ini telah menarik penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk para pekerja sendiri, suri rumah, serta ahli keluarga yang hadir bagi memahami kepentingan skim caruman tersebut.
“Skim ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada diri sendiri, malah kepada ahli keluarga terdekat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Allah SWT berfirman dalam Surat Hud ayat 6 bermaksud: Di mana Allah menyeru umat manusia untuk memakmurkan bumi dengan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, konsep memakmurkan bumi ini turut mencakupi usaha menjaga diri, keluarga dan masyarakat melalui perlindungan sosial seperti skim caruman yang diperkenalkan oleh PERKESO.
Katanya, skim ini memberikan perlindungan sosial yang penting terutamanya bagi golongan yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil, penjaja dan juga suri rumah.
“Kita perlu mengambil langkah bijak dengan menyertai skim ini bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kita serta keluarga sentiasa terjamin.
“Dalam Islam, Allah SWT menggalakkan setiap umat untuk berbuat kebajikan seperti menanam pokok yang turut memberi manfaat kepada makhluk lain.
“Daripada hadis riwayat al-Bukhari ada menyebut bahawa di mana setiap amalan kebaikan seperti bercucuk tanam akan diberikan ganjaran sebagai sedekah.
“Begitu juga dengan menyertai skim ini, ia merupakan satu usaha untuk menjaga kebajikan diri dan keluarga yang juga merupakan suatu bentuk amal jariah,” jelasnya.
Beliau menyatakan, program ini turut dihadiri oleh wakil PERKESO yang memberi penerangan lebih mendalam tentang cara-cara menyertai skim caruman ini serta faedah-faedah yang bakal diperoleh oleh peserta dan Pengurus Bank Islam Seri Iskandar juga turut berkongsikan berkaitan produk khas untuk membantu usahawan di Parit.
“Diharapkan program seperti ini akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan skim perlindungan sosial dan menggalakkan lebih ramai golongan bekerja sendiri serta suri rumah untuk menyertai skim caruman yang disediakan oleh PERKESO,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2024




















