
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesan pengguna gagal menjelaskan tunggakan bil berjumlah lebih RM4 juta pada tahun 2022 dan 2023.
Sebanyak 3,316 akaun yang dipotong bagi 2022 membabitkan hutang sebanyak RM 2.379 juta. Manakala 2023 sebanyak RM2.196 juta gagal dijelaskan melibatkan 3,954 akaun.
Unit Komunikasi Korporat AKSB berkata, Unit Penguatkuasaan AKSB akan melaksanakan tindakan di rumah dan premis yang mempunyai baki hutang melebihi tiga bulan.
“Ia dilaksanakan dalam tempoh 45 hari setelah bil akhir dikeluarkan, jika masih gagal menjelaskan, penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan dibuat dan akaun menjadi tidak aktif dan berhutang.
“Kita melantik empat agen kutipan hutang berlesen bagi membuat tindakan susulan serta mendapatkan semula jumlah hutang bil tersebut,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya juga sekiranya ada pengguna masih berdegil, AKSB menyerahkan senarai nama dan akaun kepada peguam dilantik bagi melaksanakan tindakan lanjut.
Katanya juga AKSB memberi tempoh sehingga 15 Oktober ini bagi membolehkan pengguna menjelaskan hutang bil air sebelum tindakan perundangan diambil. – HARAKAHDAILY 25/9/2024











