
KUALA LUMPUR: Sebuah pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 yang sebelum ini kelihatan menyeramkan bertukar wajah menjadi seperti kondominium mewah.
Seorang wanita telah memuatnaik video di akaun Tiktoknya, @hanakimie yang memaparkan beberapa keping gambar sebelum dan selepas bangunan pangsapuri itu daripada suasana yang suram dan seram bertukar seakan kawasan kondominium yang mewah.
“Seronoknya macam ini, barulah abang grab tak rasa seram!” tulis kapsyen Hana di akaun TikToknya.
Menurutnya, suasana ‘kondominium’ itu adalah inisiatif penduduk bangunan pangsapuri tersebut menyertai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan PPR Lembah Subang 1 dengan slogan #kitauntukkita.
Dalam pada itu, menurut komen yang diterima hantaran video tersebut memaklumkan pertandingan berkenaan dijalankan mengikut aras bangunan pangsapuri berkenaan dan gambar yang dikongsi ini terletak di tingkat 10.
Sehubungan itu, amai yang memuji hasil kerjasama penduduk dan penghuni pangsapuri tersebut kerana secara umumnya, ramai yang mengetahui tahap kebersihan pangsapuri itu sebelum ini.
“Kalaulah semua pangsapuri macam ni, rasanya tak ada pangsapuri yang kosong dan masing- masing berebut nak duduk pangsapuri.
“Bayangkan persekitaran dan mentaliti pun berubah, anak-anak di pangsapuri semua (akan muncul menjadi) graduan bagus-bagus dan hidup akan tenang,” komen @Abang Duda Perfumes.
Selain bersatu hati dalam kalangan penduduk di situ, menurut @izharkld, bagi mengadakan perubahan sebegini, perlunya ada dua perkara iaitu penduduk membayar yuran penyelenggaraan dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang kuat dan jujur dalam mengurus.
“Apabila penduduk bersatu dan tahu akan kepentingan bayar yuran penyelenggaraan, inilah hasilnya,” komen pula @kamilradzuan.
Sementara itu, @CEO_Kebon turut mencadangkan untuk meletakkan petunjuk nombor unit rumah di depan lif untuk kemudahan penghantar e-hailing sebagai penunjuk arah kepada unit rumah di pangsapuri berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/9/2024




















