Usul tidak percaya: Kerajaan sekarang bukan anak jantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar anak jantan, ahli parlimen perlu dibebaskan dari semua perjanjian yang mengikat.

Namun Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kerajaan sekarang bukan anak jantan jika berdepan usul undi tidak percaya.

- Advertisement -

“Datuk Seri cabar supaya bawa usul (undi) tidak percaya ke parlimen. Boleh sahaja usul tidak percaya dibawa ke Parlimen, tetapi dengan Speaker yang ada, adakah ia akan dilayan dengan adil?

“Sebenarnya kerajaan Datuk Seri bukanlah anak jantan jika berdepan dengan usul sebegini. Buktinya, ahli-ahli parlimen kerajaan diikat dengan perjanjian terlebih dahulu sebelum Usul Percaya dibawa ke parlimen, Disember 2022 yang lalu,” katanya dalam laman media sosial, hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merujuk kepada usul yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Disember 2022 yang diadakan kira-kira tiga minggu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Usul itu diluluskan secara undian suara majoriti.

“Beri mereka (ahli parlimen) kebebasan mengundi mengikut pilihan sendiri, nah kita tengok adakah Datuk Seri masih kekal atau pun tersungkur!” katanya.

Selain itu, beliau bertanya ketika Anwar mendesak Perdana Menteri sebelum ini meletak jawatan, berapa kali usul tidak percaya dibawa ke Parlimen?

“Atau sudah lupa ingatan? Terima kasih kerana minta kami ajar Tuan Guru adab dan akhlak, saya juga nak minta Datuk Seri makan ubat untuk pulihkan ingatan jika ada masalah cepat lupa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/2024

- Advertisement -