
KLUANG: “Walaupun Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto mereka bahawa mereka menjanjikan peruntukan sama rata bagi semua wakil rakyat termasuk pembangkang, namun mereka gagal menunaikainya sehingga sekarang.”
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya, walaupun PN tidak pernah menjanjikannya di dalam manifesto, namun ia telah melakukannya sewaktu pemerintahannya.
Menurut beliau, ketika dalam pentadbiran beliau saat negara dilanda wabak Covid-19, semua Ahli Parlimen mendapat peruntukan yang sama demi untuk disalurkan kepada rakyat yang dalam kesusahan.
“Memang sewajarnya peruntukan diberikan kepada semua. Sebagaimana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto.
“Malang sekali, dia tak tunai. (Tetapi) kami tunai. Waktu kita membentuk kerajaan kita bagi semua. Tak mohon pun. Tak ada surat pun. MoU (memorandum persefahaman) jauh sekali. Bukan CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan),” katanya.
Tambah beliau, walau pun PERIKATAN NASIONAL gagal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, namun di negeri-negeri di bawah pentadbiran parti gabungan itu berjaya melaksanakan dasar di mana semua pembangkang diberikan peruntukan walau pun ia tiada dalam manifesto.
“Tak ada masalah pun. Hanya belajar dari kami… Orang kata berlapang dada. Lagipun pemberian ni kita tak tahu, di dalam draf tak sebut berapa banyak (yang akan diberikan).
“RM30 jutakah? RM3 jutakah? Atau RM300 ribu sahajakah? Kita tak tahu. Ia tidak dinyatakan,” katanya dalam sidang media selepas Program Sesi Dialog NGO-NGI Bersama Abah Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.
Program dialog anjuran NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan UMMAH itu diadakan bagi membincangkan isu-isu orang Melayu secara tertutup melibatkan wakil-wakil lebih daripada 10 NGO berkaitan Melayu.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali; calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan); dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal.
Hadir sama ialah Presiden PERKASA, Syed Hasan Syed Ali; Presiden UMMAH, Mohd Zai Mustafa; dan Presiden Sekretariat KERABAT Kebangsaan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keputusan Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL menolak perjanjian persefahaman (MoU) penyaluran peruntukan adalah jelas di atas banyak sebab.
“Saya fikir media pun sudah baca. Saya tak payah ulas panjang lebar. Saya sendiri dah buat kenyataan, ketua pembangkang sudah buat kenyataan dan ramai pihak dah berikan pandangan dan merasakan ia sewajarnya ditolak.
“Atas sebab soal bertentangan dengan Perlembagaan Negara; menyekat dan menghalang Ahli-ahli Parlimen untuk menyuarakan secara bebas. Macam semua tak boleh, atas hanya nak bagi peruntukan,” katanya.
Pihaknya juga, kata Muhyiddin, tidak akan membawa cadangan balas kerana cadangan asal itu sendiri sudah mengambil masa yang terlalu lama untuk dirundingkan dan dilihat membuang masa.
Selain itu, beliau berpandangan bahawa MoU itu sendiri tidak diperlukan di mana kerajaan seharusnya memberikan peruntukan tersebut tanpa perlu apa–apa MoU memandangkan ia sudah termaktub dalam manifesto PH pada PRU15.
Apabila ditanya wartawan tidakkah keputusan PERIKATAN NASIONAL itu merugikan rakyat, ini jawapan Muhyiddin:
“Siapa yang merugikan rakyat? Kami? Siapa merugikan rakyat? Merekalah (yang merugikan rakyat) fasal tak bagi kepada kami.
“Kawasan kami jaga itu kami tak ada peruntukan nak tolong. Bukan masuk poket kami. Nak baiki jambatan rosak; surau bocor nak bagi bantuan kebajikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024




















