
KOTA BHARU: “Memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang merupakan satu lagi helah yang dilakukan kerajaan campuran untuk melemahkan Perikatan Nasional (PN).”
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud berkata, beliau mempertikaikan kenapa langkah itu dilaksanakan selepas dua tahun pemerintahan kerajaan hari ini.
Sedangkan kata beliau, kerajaan perlu melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa menyekat peruntukan wakil rakyat yang telah dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke 15.
“Perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, Perkara 8 mesti dipatuhi oleh kerajaan, tetapi sekarang hanya wakil rakyat kerajaan yang menyokong saja diberi peruntukan.
“Mungkin ada sesuatu disebalik MoU ini setelah dua tahun dibuat, mungkin ada perangkap kepada kita dan kita menyambut baik keputusan menolak perjanjian MoU ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Darul Niswah atau Pusat Pembangunan Wanita Kelantan DUN Melor di Wisma Tok Wali, di sini, semalam.
Sebelum ini Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sebulat suara menolak MoU yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Selain itu katanya lagi syarat yang dikenakan dalam dokumen tersebut turut dibimbangi menjejaskan hak keistimewaan dinikmati orang Melayu dan Bumiputera di negara ini. – HARAKAHDAILY 18/9/2024




















