‘Biar tak digelar kepimpinan munafik dalam membela Palestin’

Bruno Mars yang jelas pro-Israel tetapi anehnya diberi kebenaran mengadakan konsert di Malaysia, negara yang kuat menyokong rakyat Palestin.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kepada pihak pemerintah, melalui kuasa yang ada, dasar dan kebijakan perlu dipraktikkan agar negara ini tidak digelar munafik kepimpinannya dalam membela rakyat Palestin.”

Itu penegasan Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang membantah sekeras-kerasnya Konsert Bruno Mars di Malaysia  yang telah diadakan pada malam tadi (17 September) di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur.

- Advertisement -

“Umat Islam Malaysia berduka cita selepas mengetahui sebuah konsert yang menampilkan penyanyi yang jelas pro-Israel, Bruno Mars, dibenarkan mengadakan persembahan konsert di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut kenyataan tersebut, konsert tersebut tidak wajar diadakan di bulan mulia ini, sehari selepas tarikh  kelahiran Rasulullah SAW yang menampakkan seolah-olah pemimpin negara ini langsung tidak berpihak kepada Palestin.

Tarikh 16 September 2024, seluruh umat Islam termasuk di Malaysia,  menyambut ulang tahun kelahiran pembawa risalah umat manusia, Baginda Nabi SAW, yang mana ia  juga sebagai tanda untuk memuliakan Rasulullah SAW.

“Apa ertinya jika Himpunan Huffaz diadakan tetapi dalam masa yang sama, penyokong Israel  itu (Bruno Mars) diberi pentas yang lebih besar (di negara ini)?

“Kita tidak mahu menuding jari atau mencari salah mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu mencari jalan penyelesaian,” ujar kenyataan itu.

Ahli GAMIS dan Mythreyar Mutturamalinggam dalam Himpunan Bantahan Konsert Bruno Mars di hadapan pintu masuk Stadium Bukit Jalil pada 16 September 2024.

Tambah kenyataan itu, rasa belas kasihan kepada mangsa peperangan  khususnya di Semenanjung Gaza boleh dijadikan alasan untuk tidak terlibat dalam konsert sebegini walau ada perbezaan agama yang dianuti.

“Apatah lagi bagi yang beragama Islam, dimanakah sikap belas kasihmu kepada saudara seagama ketika pro Zionis datang disambut secara besar-besaran.

“Sepatutnya, kesungguhan diri untuk tidak terlibat walau tiket sudah dibeli menjadi tanda iman dan sikap prihatin kepada penindasan sesama manusia yang perlu ada pada setiap rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu. 

Terdahulu, pelbagai pihak termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), malah aktivis Palestin bukan Islam seperti Mythreyar Mutturamalinggam dan Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin,Tian Chua telah berusaha membantah dan merayu agar konsert Bruno Mars yang dijadualkan pada jam 8.30 malam esok di Stadium Bukit Jalil, di sini dibatalkan.

Khemah yang didirikan GAMIS di hadapan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam tadi, 13 September 2024 sempena mogok bantahan terhadap konsert Bruno Mars, sebelum ia diserbu pihak berkuasa. (FOTO: Ihsan GAMIS)

Malah GAMIS telah menghantar memorandum bagi menghalang konsert tersebut kepada  Kementerian Belia dan Sukan pada 29 Ogos dan juga kepada Kementerian Komunikasi pada 30 Ogos lepas, tetapi kedua-dua kementerian itu tidak memberi sebarang respons.

Ia telah menyebabkan GAMIS kemudian membuat mogok aman pada 13 September  dengan mendirikan khemah di hadapan stadium berkenaan, tetapi malangnya pihak berkuasa telah bertindak merempuhnya. 

Dalam kejadian itu, Presiden GAMIS, Imran Sulaiman memberitahu Harakahdaily bahawa, setelah 24 jam GAMIS melakukan mogok aman di lokasi berkenaan pada tarikh tersebut, situasi bertukar tegang apabila pihak polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merempuh serta mengarahkan pimpinan GAMIS untuk bersurai.

“Pihak polis telah mengambil tindakan untuk mengangkut pimpinan GAMIS yang berkeras tidak mahu berganjak walaupun diancam tindakan lanjut. 

“Kami digertak, diarah beredar serta-merta, tetapi kami tidak akan tunduk,” kata Imran.

Ahli GAMIS telah mengadakan flashmob dan mengedarkan risalah pada 9 September 2024 sebagai bantahan menjelang konsert Bruno Mars yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 September. (FOTO: Ihsan GAMIS)

Insiden yang menimpa GAMIS itu juga telah meraih sokonganTian Chua yang menegaskan bahawa perkara tersebut tidak wajar dilakukan pihak berkuasa kerana ia tidak menghormati suara GAMIS yang mempunyai hak untuk melakukan sedemikian, selain GAMIS tidak melakukan sebarang jenayah.

Nasib yang menimpa GAMIS turut meraih sokongan moral  Mythreyar yang berkata, perlukah pertubuhan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dilayan seperti penjenayah kerana memprotes kehadiran Bruno Mars untuk konsert di Malaysia?”

Sehubungan itu, Mythreyar juga telah menyertai GAMIS dalam Himpunan Bantahan Konsert Bruno Mars di hadapan pintu masuk Stadium Bukit Jalil pada 16 September 2024. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -