
PAS berpegang kepada dasar Islam, prinsip perjuangan yang teguh, ditambah dengan organisasi yang semakin mantap.
Kejayaan PAS dan Perikatan Nasional, PN dalam pilihan raya umum dan beberapa pilihan raya kecil yang lepas memperlihatkan sokongan massa walaupun mungkin tidak menang di satu dua tempat di pilihan raya kecil.
Ahli PAS setia dengan parti. Justeru, musuh politik sangat cemburu dengan kesetiaan ini. Lalu mereka menggelarkan ahli PAS sebagai ‘walaun’, mengambil perkataan walak dan ditambah dengan ‘un’, bukan untuk memuji tetapi menyindir sinis kepada ahli PAS.
Walak sebenarnya adalah perkataan bahasa Arab yang menunjukkan setia, persahabatan, ada perjanjian, kerabat, pertolongan, hubungan baik dan lain-lain nak makna yang hebat sebenarnya.
Musuh politik PAS terutama cybertrooper yang dibayar, ‘pengkomen’ dalam media sosial dan orang yang jahil tentang PAS, istilah walak yang sebenar sengaja menggelar ahli PAS sebagai walaun untuk mengejek, menyindir dan memperlekeh, seolah-olah ahli PAS ini taat membabi-buta, membuta tuli kepada pemimpinnya tanpa menurut kebenaran.
Kita berterima kasih kepada Datuk Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Ketua Lajnah Tarbiah PAS Pusat yang menjelaskan istilah walak ini dalam Al-Quran dan pegangan ahli PAS tentang walak ketika membuat penggulungan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau pada hari Ahad lepas.
Beliau memetik ayat al-Quran, firman Allah:
اِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلٰوةَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكٰوةَ وَهُمْ رَاكِعُوْنَ وَمَنْ يَّتَوَلَّ اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا فَاِنَّ حِزْبَ اللّٰهِ هُمُ الْغٰلِبُوْنَ
Maksudnya: “Sesungguhnya wali/penolongmu hanyalah Allah, RasulNya, dan orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah, RasulNya dan orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang menang.” (Al-Maidah: 55-56)
Ayat ini menjelaskan wali, pemimpin, penolong, pembantu, yang diberi kepercayaan sebenar ialah Allah, rasul dan orang mukmin yang beriman dan beramal soleh dengan sebenar. Di hujung ayat, Allah menegaskan bahawa ‘hizbullah’ iaitu golongan yang punya sifat-sifat di atas itulah yang mendapat kemenangan.
Datuk Ustaz Idris menyebut: “Antara natijah dan kejayaan tarbiah PAS ialah melahirkan ahli yang walak dan taat kepada arahan parti, selagi ia tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul”.
Kita boleh keluarkan pelbagai pandangan, terutama dalam strategi politik dan lain-lain. Namun apabila ada keputusan, kita terima. Sikap kita inilah yang menyebabkan hingga kita digelar ‘walaun’.
Ya, kita walak kepada Allah, rasul dan orang mukmin yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan punya sifat-sifat seperti dalam ayat al-Quran di atas.
Selagi pemimpin itu walak kepada Allah, kita taat. Jika mereka tidak taatkan Allah dan Rasul serta orang mukmin yang ada sifat di atas, kita tidak taat.
Ini terbukti apabila ada pemimpin PAS tinggalkan parti, kita tidak ikut mereka.
Begitu juga misalnya, demonstrasi yang dianjurkan oleh NGO Bersih yang terakhir, kita tidak sertai.
Kita boleh kerah jentera pilihan raya untuk bantu apabila ada pilihan raya di sesuatu tempat.
Ada yang cuba meracuni tentang walak ini. Ada kalangan anak-anak kita yang diracuni supaya tidak berada dalam jemaah supaya tidak terikat dengan jemaah ini.’
Oleh sebab itulah, ahli PAS tidak perlu risau dan rasa tertekan dengan gelaran ‘walaun’ itu kerana ia tidak akan memberi kemudaratan apa-apa kepada kita.
Ahli PAS mesti ada kekuatan dalaman menghadapi musuh politik ini dan membina kekuatan parti.

Justeru, Datuk Ustaz Idris mengingatkan kepada ahli PAS, terutama pimpinan dan perwakilan supaya membuat beberapa perkara iaitu jangan tinggal baca al-Quran, langgan Harakah sebagai media rasmi parti, aktif dalam media sosial komen pertahankan Tok Guru, zikir mathurat jangan tinggal, hidupkan usrah, kuliah di markas dihidupkan, anak dan ahli keluarga menjadi ahli PAS dan membuat kerja Islam masa sihat agar dicatat pahala ketika sakit.
Tok Guru Presiden pernah menyebut dalam muktamar di tahun-tahun lepas: “Biarkan anjing menyalak, namun kafilah tetap terus berjalan”. – HARAKAHDAILY 18/9/2024
Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.











