‘Saya kuat atas kata semangat isteri yang sedang sakit’

Coach Haizan sedang melawat ke Gelanggang Futsal Taman Sri Kluang, di sini, sebentar tadi yang berada dalam keadaan uzur dan banyak peralatan dan infrastruktur yang rosak. (FOTO: HARAKAHDAILY/Marco)
- Advertisement -

KLUANG: “Saya kuat sebab isteri saya kata ‘go for it! Itu sebab saya teruskan kempen… Isteri saya memberi sokongan yang kuat. No problem. Itu kekuatan saya… pada isteri saya… itu yang buat saya kuat.”

Demikian dinyatakan calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau pun lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ ketika ditanya wartawan tentang khabar angin mengenai isterinya itu.

- Advertisement -

Beliau turut mengesahkan bahawa isterinya, Rohimah Daud, 58, kini sedang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Isteri saya dimasukkan hospital. Sekarang sudah 16 hari di hospital. Tetapi alhamdulillah, sekarang keadaannya telah stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan yang meminta kepastian tentang desas-desus isterinya kini sedang dirawat di hospital.

Apabila ditanya mengapa beliau seolah-olah merahsiakan perkara itu sebelum ini dan tidak mahu mendedahkan kepada orang ramai, ini jawab beliau:

“Saya tak mahu perkara itu mengganggu fikiran saya sepanjang menjalankan tanggungjawab berkempen,”katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media usai lawatan beliau ke Gelanggang Futsal Taman Sri Kluang, di sini, sebentar tadi yang berada dalam keadaan uzur dan banyak peralatan dan infrastruktur yang rosak.

Dalam lawatan itu beliau menggesa pihak kerajaan agar membaik pulih gelanggang futsal tersebut agar tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -