Benteng akidah, syiar Islam terus diperkasa

Majlis Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan Majlis Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang.

- Advertisement -

Persidangan tersebut untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan akhlak serta melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tinggi, tetapi juga teguh dalam keimanan dan berakhlak mulia, sejajar dengan ajaran Islam.

Majlis juga diberi pendedahan kewujudan Ikatan Madrasah Pahang (IMP) yang mendapat restu Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di mana bertindak menjadi penaung kepada Pusat pendidikan di seluruh negeri ini.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia (PMPS) Pahang, Ustaz Roslan Md Esa merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Pahang memuliakan majlis ini dan turut memperlihatkan sokongan yang tidak berbelah bagi.

Katanya, Tuanku Sultan memperlihatkan sokongan terhadap usaha memperkasakan pendidikan agama di negara kita, khususnya melalui sistem pondok yang sekian lama menjadi benteng akidah dan syiar Islam di bumi Malaysia.

“PMPS sentiasa beriltizam untuk menyatupadukan masyarakat pondok di seluruh negara dalam usaha mendidik ummah dengan nilai-nilai agama yang murni.

“Kami percaya bahawa dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan dan institusi diraja, institusi pondok akan terus relevan dan berperanan dalam memperkukuh akhlak serta perpaduan masyarakat Islam.

“Patik sekali lagi merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Tuanku dan berharap agar Allah SWT sentiasa memberkati Duli Tuanku.

“Serta seluruh kerabat Diraja dengan kesihatan, kesejahteraan, dan kebijaksanaan dalam memimpin negara,” ujarnya yang juga Mudir Maahad Tahfiz Al-Abrar, Bentong. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -