Peruntukan kerajaan: PN tolak MoU berat sebelah

Aire Roslan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menyokong dan bersetuju dengan kenyataan rasmi Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Aire Roslan, berkata terdapat beberapa tafsiran tidak jelas yang menjadikan ia berat sebelah apabila meneliti dalam isi kandungan MoU itu.

- Advertisement -

“Tuntutan terhadap kesamarataan kaum, agama, bangsa dan kebebasan yang diketengahkan dikhuatiri akan menggugat kedudukan Islam dan keistimewaan bumiputera seperti dalam perlembagaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Aire berkata, Ahli Parlimen pembangkang seolah dipaksa untuk bersetuju dengan apa saja yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dengan tidak dibenarkan membuat bangkangan ‘sia-sia’ dan ‘menyemai kebencian’.  

“Apa pula definisi ‘sia-sia’ yang cuba disampaikan, lalu di mana letaknya posisi pembangkang sebagai semak dan imbang dan kerajaan?

“Penolakan ini jelas menunjukkan Perikatan Nasional tidak akan sama sekali menggadaikan prinsip perjuangan yang selama dibawa,” katanya. 

Menurut beliau, peruntukan itu diberikan kepada rakyat yang disalurkan melalui Ahli Parlimen.

“(Peruntukan itu) bukan bagi untuk Ahli Parlimen. Kenapa seolah dihukum rakyat yang memilih wakil rakyat bukan kerajaan? MoU ini cuma drama. Kalau nak bagi, bagi saja. Kalau tak nak bagi kata tak nak bagi,” ujarnya.

Terdahulu, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan nilai budaya, moral dan agama.

Selain itu, kata Hamzah Zainudin ia boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

“Kami membuat ketetapan menolaknya kerana beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Draf MoU tersebut turut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai-nilai tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -