PAS tak nafikan keislaman pihak lain

Zuridan Mohd Daud
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak menafikan keIslaman orang atau pihak lain lain; atau perjuangan yang dibawa oleh mana-mana jemaah Islam.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Zuridan Mohd Daud berkata, PAS memberikan sokongan 100 peratus kepada setiap usaha individu yang mengangkat martabat Islam.

“PAS juga amat menyokong dan sedia bekerjasama dengan mana-mana jemaah yang berusaha menegakkan syariat Islam secara syumul dan yakin kita akan jadi kuat jika kita bersama, sebaliknya kita akan jadi lemah jika kita berpecah.

- Advertisement -

“Apa yang PAS lakukan ialah berusaha secara bersungguh, istiqamah dan ikhlas tanpa peduli walau dibenci musuh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, berkata PAS akan menyeru kepada sesiapa pun yang menegakkan Islam dalam aqidah, ibadah, akhlak, undang-undang, ekonomi dan juga pemerintahan negara.

“PAS secara konsisten menyeru ummah walau di mana pun berada sama ada di masjid, surau, madrasah, Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara.

“Mungkin itulah sebabnya kenapa PAS dituduh membawa kebencian,” jelasnya. 

Terdahulu, PAS meluahkan rasa sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecam Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketakutan dan kegelisahan Pakatan Harapan (PH) terhadap TGHH serta PAS secara khususnya amat terserlah. 

“Hal ini kerana sepanjang muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh Presiden dalam ucapan beliau. Agak janggal apabila kenyataan media kementerian hanya menyemai kebencian terhadap Presiden PAS dan bukan berkaitan keselamatan negara.

“Sejak penubuhan PAS, TGHH adalah sosok yang telah berjaya mengangkat PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.

“Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuklah Saifuddin yang hanya berniat jahat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -