Kenyataan Menteri Dalam Negeri sangat melucukan, memalukan

Razman Zakaria
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS negeri Perak berasa kesal dengan kenyataan media politik yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) berkaitan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-70 di Temerloh, Kerdau, Pahang.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, ia adalah satu keganjilan apabila seorang menteri dengan kenyataan media menggunakan jata negara mengulas Muktamar dan ucapan seorang Presiden parti politik. 

- Advertisement -

“Apakah beliau keliru membezakan antara tugasan seorang menteri dan setiausaha sebuah parti politik atau sudah menjadi kebiasaan bagi beliau menggunakan kedudukan sebagai menteri untuk menyerang parti lawan. 

“Mungkinkah menggunakan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri membolehkan beliau dilindungi undang-undang?,” katanya u dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu menurutnya, Muktamar PAS adalah medan hala tuju PAS mengharungi politik dan dakwah.

Tambah Razman, sekiranya menteri itu menilai dengan ikhlas dan berakal sedar, menteri itu akan dapati ucapan Presiden PAS malah perbahasan perwakilan PAS lebih bersifat muhasabah dan menggagaskan hala tuju perjuangan parti berbanding ucapan Presiden PKR dan perbahasan mereka. 

“Perhimpunan PKR lebih kepada retorik dan perbahasan mengampu di samping menyerang musuh politik secara semberono. 

“Ternyata beliau cuba mengalih perhatian rakyat sebelum rakyat menilai dengan matang. 

Beliau menyatakan, kenyataan media Menteri Dalam Negeri itu lebih bersifat kebimbangan terhadap penilaian dan perbandingan rakyat antara Perhimpunan PKR yang memerintah dan PAS sebagai pembangkang. 

“Antara retorik politik dan gagasan perjuangan sebuah parti politik.

“Sangat melucukan apabila kenyataan seorang menteri mengulas gurauan dan unsur kecindan dalam perbahasan perwakilan seperti menambah isteri sebagai fakta untuk diulas. 

“Ternyata menteri ini terlalu sukar mencari fakta untuk diserang,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, tindakan menteri itu adalah memalukan apabila melabel perjuangan PAS sebagai khawarij seperti mana kerja yang dilakukan seorang siber trooper upahan. 

Beliau mempersoalkan standard menteri itu sebagai seorang Setiausaha Agung sebuah parti politik memerintah.

“Mungkin inilah alasan sebenar Presiden PKR menukar beliau dari Setiausaha Agung seperti mana diuar-uarkan media.

“Paling memalukan apabila beliau mengheret tokoh pimpinan PAS lalu untuk membuat perbandingan tentang PAS. 

“Apakah beliau tidak tahu bahawa apa yang dibawa Tuan Guru Presiden khususnya dalam muktamar ini adalah merealisasikan apa yang pernah dicetuskan pimpinan PAS lalu,” jelas beliau.

Beliau berkata, sebagai contoh tindakan merealisasikan cetusan pimpinan PAS lalu adalah memperkasakan peranan dan keahlian bukan Islam yang merupakan cetusan idea bekas pimpinan PAS, Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad. 

Razman berkata, menteri itu ternyata terlalu jahil mengenai PAS, pimpinan PAS dan hala tuju perjuangan PAS.

PAS Perak katanya, melihat menteri itu sangat terdesak dalam memposisikan dirinya setelah difahamkan jawatan sebagai SUA Agung beliau telah ditukar.

“Apakah jawatan menteri kanan juga terancam menyebabkan beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan media terpanjang bertaraf siber trooper menggunakan kedudukan menteri menggunakan Jata negara untuk politik keperibadian?” soal beliau.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan media tempatan mengkritik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan ucapan dalam Muktamar PAS ke-70.

Saifuddin mendakwa bahawa PAS kini semakin terlibat dalam politik kebencian, dengan beberapa ucapan pemimpinnya yang mengandungi cercaan dan fitnah.

Kritikan Saifuddin itu mengundang reaksi balas dari pelbagai pihak, termasuk Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, yang menempelak tindakan Saifuddin.

Annuar dilaporkan mempertahankan Abdul Hadi, menyatakan bahawa ucapan beliau di Muktamar PAS sangat tertib dan berfokus pada perjuangan berlandaskan Islam, serta menyifatkan tuduhan Saifuddin sebagai tidak berasas. 

Annuar turut menganggap serangan Saifuddin sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi kerajaan. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -