GISBH: Majlis Agama Islam digesa rungkai penyelewengan agama

Mohamed Sukri Oma
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa  Majlis Agama Islam bagi setiap negeri-negeri di Malaysia menggerakkan kekuatan yang ada untuk tindakan menyiasat penyelewengan agama terhadap Global Ikhwan Services & Business Holding (GISBH) sebagaimana yang didakwa.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, desas-desus yang mengaitkan GISB dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyanggahi agama bukanlah isu yang baharu.

- Advertisement -

Menurutnya, isu GISB ini mula dikaitkan dengan dakwaan aktiviti sebegitu, sejak awal penubuhannya pada 23 Oktober 2013, namun tidak begitu diberikan perhatian meluas.

“Perkara ini tiada kompromi kepada pihak yang sengaja mencemarkan imej Islam dan polemik ini sudah berlarutan lebih sedekad, ia  perlu dirungkai dan diselesaikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sukri berkata, isu eksploitasi kanak-kanak perlu dibanteras habis-habisan dan hukuman berat perlu diambil sekiranya terdapat bukti kukuh sabit kesalahan.

“GISB didakwa bukan sahaja terlibat dengan jenayah eksploitasi kanak-kanak disebalik aktiviti perniagaan, bahkan apa yang menjadi polemik umum sejak sekian lama ialah dakwaan mempergunakan agama untuk mencandu para pengikut, bahkan menyesatkan mereka dengan fahaman agama yang sesat lagi menyesatkan.

“Antara dakwaan doktrin fahaman sesat yang dikaitkan dengan GISBH termasuklah mengamalkan bacaan Zikir Agung (Aurad Muhammadiah) yang telah diharamkan, memuja pemimpin, malah turut didakwa mengatur kehidupan ahlinya seperti pernikahan dan penceraian para pengikutnya mengikut arahan pemimpin secara membuta-tuli,” jelasnya.

Terdahulu, pendedahan mengejutkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada minggu lepas terhadap GISBH telah menggemparkan negara tentang eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu yang berfungsi sebagai pusat jagaan dan rumah amal diserbu oleh polis pada awal pagi Selasa.

Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun, serta menahan 171 individu, termasuk individu bergelar ‘ustaz’ yang menguruskan premis-premis tersebut untuk siasatan lanjut. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -