Isu Saifuddin: Ketakutan PH terhadap TGHH, PAS amat terserlah

Tuan Guru Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kerdau, Temerloh, Pahang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS meluahkan rasa sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membuat satu kenyataan media mengecam Presiden PAS atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketakutan dan kegelisahan Pakatan Harapan (PH) terhadap Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) serta PAS secara khususnya amat terserlah. 

- Advertisement -

“Hal ini kerana sepanjang Muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh Presiden dalam ucapan beliau.

“Agak janggal apabila Kenyataan Media Kementerian hanya menyemai kebencian terhadap Presiden PAS dan bukan berkaitan keselamatan negara.

“Sejak penubuhan PAS, TGHH adalah sosok yang telah berjaya mengangkat PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.  Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuklah Saifuddin yang hanya berniat jahat,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, Saifuddin harus diingatkan bahawa PAS yang ber-Presidenkan TGHH adalah parti tunggal yang mempunyai wakil Ahli Parlimen (MP) terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini.

“Walaupun TGHH difitnah dengan pelbagai perkara, namun TGHH berjaya membawa bersamanya 42 orang MP berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang. 

“Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding PAS yang mengusai empat buah negeri.

“Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong PAS sehingga ke tahap ini, alhamdulillah,” ujarnya.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam pada itu menegaskan, orang yang paling bertuah merasai sendiri kemenangan dalam pilihan raya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang PAS, parti yang dicerca oleh beliau hari ini.

“Dengan persetujuan TGHH, beliau diberi ruang bertanding dan memenangi parlimen Machang pada tahun 2008. Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa TGHH. 

“Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya menggigit tangan mereka yang membantunya dahulu.

“Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar beliau tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu berkata, PAS dalam Muktamarnya (yang terbaharu Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kerdau, Temerloh, Pahang baru-baru ini) sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya. 

“Saya yakin, kenyataan tidak beradab  yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri ini tidak akan terhenti di sini. Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU (Pilihan Raya Umum), semakin menggelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya.

“Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong. 

“Semoga Allah SWT mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang. Kepada Allah SWT kami berserah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -