Tanpa peruntukan: MP Kuala Terengganu teruskan tradisi perpaduan 

Alex Chan (kiri) dan Balachandran (kanan) bersama masyarakat setempat berbangsa India.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen  (MP)Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tetap meneruskan tradisi memberi kuih bulan kepada kaum Cina di negeri ini sempena Perayaan Kuih Bulan, walaupun peruntukan disekat kerajaan pusat.

Beliau berkata, perayaan ini adalah simbol perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, di mana tradisi dan budaya yang kaya dapat dikongsi bersama.

- Advertisement -

“Perayaan Kuih Bulan bukan sahaja meraikan tradisi, tetapi juga menjadi platform penting untuk rakyat terus memperkukuhkan hubungan antara kaum serta menggalakkan kerjasama yang erat demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Kuih bulan telah diedarkan oleh Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Alex Chan Foo Yew, Pegawai Hal Ehwal Khas (Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnadi di sekitar Kampung Cina dan Pulau Kambing sambil menyantuni masyarakat setempat. 

Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) atau dikenali sebagai perayaan kuih bulan adalah jatuh pada hari ke-15 bulan ke lapan pada kalendar Lunar, atau hari ini, 17 September pada tahun ini.

Menurut Amzad, penerima kuih bulan turut menyatakan bahawa niat baik di sebalik pemberian tersebut lebih bermakna daripada nilai kuih itu sendiri. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -