
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mengambil ketetapan untuk menolak deraf MoU (Memorandum Persefahaman) antara Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketetapan dibuat itu setelah meneliti keseluruhan kandungan deraf MoU tersebut secara terperinci.
“MoU ini mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.
Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, pihak Kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.
“Misalnya, MoU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana Ahli-ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perkara itu tidak betul dan negara dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-raja Melayu.
Muhyiddin menegaskan bahawa beberapa perkara asas yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, bersama hak-hak sah kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kekal terjamin.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), serta peranan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara (Perkara 32) dan kewujudan Majlis Raja-Raja (Perkara 38) juga adalah komponen penting dalam struktur negara.
Di samping itu jelasnya, hak kebebasan individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni turut dijamin di bawah Perkara 11.
“Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat?
“Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula perlembagaan negara secara halus menerusi MoU ini?
“Selain itu, MoU ini juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.
“Sebagai contohnua, Mou ini menghalang Ahli-ahli Parlimen PN membuat kenyataan ‘yang mendiskriminasi mana-mana pihak samada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain’,” jelasnya.
Identiti yang lain itu, kata beliau, termasuklah kumpulan LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender).
“Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan deraf MoU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan? soalnya. beliau.
Dalam pada itu, bagi Muhyiddin, MoU itu adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia dan ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.
Bagi Muhyiddin lagi, peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU dan ia adalah janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
“Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Rasulullah S.A.W bersabda, (yang bermaksud) ‘Barang siapa tidak menepati janji seorang Muslim, nescaya ia mendapat laknat Allah, malaikat, dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan’.” – HARAKAHDAILY 17/9/2024




















