Pikul sesuatu mengikut kemampuan

- Advertisement -

MENURUT Imam Ghazali dalam kitab Ihya’, ibadah terbahagi kepada beberapa skop. Ada orang ahli ibadah di mana kerjanya hanya beribadah semata-mata.

Ada ibadah orang yang bekerja, orang yang belajar, orang yang mengajar dan orang alim. Ibadah mereka tidak serupa.

- Advertisement -

Ada orang yang boleh duduk di atas sejadah, bertahlil seribu kali sehari dan membaca al-Quran satu juzuk sehari sebab dia tiada kerja lain. Sama dengan Ahlu Suffah pada zaman Nabi.

Dia tiada keluarga, tiada kerja tetap, makan minum ditanggung dan duduk di serambi masjid. Kerjanya hanya beribadah, membaca al-Quran, bertahlil dan wirid.

Tetapi, ada orang yang perlu keluar untuk mencari makan atau nafkah. Ada ibadahnya. Tidak mungkin nak minta dia duduk bertahlil seribu kali. Tidak buat kerjalah jawabnya.

Yang penting adalah tidak meninggalkan ibadah asas seperti solat fardhu. Walau sibuk setara mana sekalipun, tidak boleh meninggalkannya.

Contohnya drebar bas, kalau tidak sempat buat yang sunat pun, sempat buat solat fardhu pun mujur. Nak suruh duduk wirid panjang-panjang selepas solat, tidak pasal-pasal bas sampai lewat.

Disebabkan kita tidak memahami perkara ini, itu yang jadi kelam-kabut. Allah membuka pintu yang amat luas untuk kita mencari pahala. Ambillah manfaat dan ruang yang Allah beri.

Janganlah kita sempitkan. Kalau tidak, kita pun lemas. Nak gambarkan, agama ini mudah. Jangan memaksa diri sehingga lebih daripada kemampuan dan membebankan. Dengan syarat jangan meninggalkan yang wajib.

Jangan buat sampai patah semangat. Apabila patah semangat, akhirnya meninggalkan agama. Apabila itu payah ini payah nak buat, akhirnya semua dihempas dan dibuang. Ibarat seperti memikul barang. Semakin berat barang yang dipikul, semakin tinggi rasa nak hempas barang.

Bukan sahaja barang yang jatuh, dengan pengandar sekali patah. Tetapi, kalau kita memikul setakat kemampuan, kita boleh pergi jauh sebab sepadan dengan tenaga. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -