
KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar, menyuarakan gesaan tegas kepada semua wakil rakyat beragama Islam untuk menolak memorandum persefahaman (MoU) yang dicadangkan oleh kerajaan pusat kepada Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, ketundukan seseorang hamba kepada Allah SWT adalah mutlak, dan tidak boleh dipaksa untuk menggadaikan prinsip agama hanya kerana tuntutan duniawi.
Merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 15, beliau menekankan bahawa semua makhluk tunduk kepada Allah SWT, sama ada dengan rela hati atau terpaksa, dan hal ini sepatutnya menjadi prinsip utama dalam menentukan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan agama.
“Hak asasi manusia dalam Islam bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja, tapi mesti berada di dalam lingkaran syariat Islam, begitu juga dengan orang bukan Islam, setiap negara yang diterajui oleh orang Islam mesti juga memelihara maslahah dan menolak sebarang sistem dan hak yang membawa kemudaratan pada rakyatnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Atas nama hak asasi manusia semata-mata tanpa dipandu syariat pastinya membawa mudarat, manusia bebas berbuat apa sahaja kerana mereka adalah manusia yang memiliki hak, ke mana kerajaan sekarang nak bawa rakyatnya?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, konsep hak asasi manusia yang tidak berpandukan syariat akan membawa kepada kebinasaan, seperti yang jelas kelihatan di negara Barat.
“Kalau kita melihat di Barat, antara apa yang mereka perjuangkan ialah perkahwinan sesama jantina, perkahwinan manusia dengan haiwan dan pelbagai perbuatan songsang supaya diiktiraf atas nama hak asasi manusia,” katanya.
Menurutnya, MoU itu juga berisiko membawa impak negatif terhadap kedudukan Islam dan Bumiputera, seperti yang ditunjukkan dalam pertikaian baru-baru ini berkenaan sijil halal JAKIM oleh wakil DAP.
Dalam pada itu, kata Rosli, konsep hak asasi manusia yang diterapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlalu berasaskan pemikiran sekular, yang meminggirkan peranan agama dalam menentukan batas-batas kebebasan.
“Kefahaman hak asasi manusia seperti ini hanya di nilai dalam bentuk hak kerana kejadian manusia semulajadi sejak lahir, lalu mereka menjadikan kemanusiaan itu seperti mempunyai hak yang mutlak mengatasi aturan agama, fahaman ini bersifat sekular sehingga orientasi dan kebertanggungjawabannya hanya tertumpu kepada manusia semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, sebagai orang beriman, adalah tidak wajar untuk menggadaikan agama, bangsa dan negara demi peruntukan yang dijanjikan melalui MoU tersebut.
“Saya sangat bersetuju MoU ini ditolak, tak mungkin sebagai orang yang beriman sanggup untuk menggadaikan agama, negara dan bangsa demi untuk mendapat peruntukan.
“Insya-Allah kami sanggup berusaha sedaya mungkin untuk membela rakyat dengan apa yang kami mampu, tiada gunanya peruntukan jika sekiranya rakyat Malaysia berada diambang kemusnahan,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
“Peruntukan itu adalah hak wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat, dalam bab ini mereka tak nak pula bersifat kemanusiaan, masih lagi beramal dengan cara pemerintahan ‘barbarian’, gunakan kuasa untuk memerah supaya mengikut telunjuk mereka semata walaupun memudaratkan negara dan rakyat.
“Namun ingat!! manusia bencikan kezaliman, sampai ketikanya doa orang dizalimi pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
“Justeru, saya menyeru semua wakil rakyat beragama Islam, tanpa mengira parti, untuk bersama-sama menolak MoU ini demi mengelakkan kemurkaan Allah SWT dan azab di akhirat kelak,,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024




















