Taufan Bebinca: 10,000 pokok tumbang, 400,000 penduduk dipindahkan

Sebatang pokok tumbang di jalan raya menimpa kenderaan, di tengah-hujan lebat pada hari ini, 16 September 2024 selepas Taufan Bebinca melanda Shanghai, China. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

SHANGHAI: Hab kewangan Shanghai yang biasanya sibuk terhenti pada Isnin apabila penduduk berteduh di rumah untuk menunggu terburuk Taufan Bebinca.

Ribut Kategori 1, yang mendarat di Shanghai pada pagi Isnin, adalah taufan tropika paling kuat yang melanda secara langsung bandar itu dalam tempoh lebih tujuh dekad lalu.

- Advertisement -

Dengan kelajuan angin tertinggi 151 kilometer sejam (kph) di ‘pusat mata’nya, Bebinca mendarat di bandar raya yang dihuni hampir 25 juta penduduk sekitar jam 7,30 pagi (2330 GMT), lapor media kerajaan China, yang menyatakan ia adalah ribut paling kuat melanda Shanghai sejak Taufan Gloria pada 1949.

Hujan melanda bandar itu dan angin kencang menumbangkan lebih 10,000 pokok di seluruh Shanghai apabila lebih 400,000 orang dipindahkan dari kediaman berisiko di laluan Bebinca.

Lebih 56,000 pekerja penyelamat telah dikerahkan dan, pada awal petang hari ini, hanya satu kecederaan dilaporkan akibat ribut itu, menurut laporan media kerajaan, lapor Reuters.

Lebih 1,400 penerbangan dari dua lapangan terbang di bandar itu dan lebih 570 kereta api penumpang telah dibatalkan sejak petang Ahad, mengganggu rancangan perjalanan ramai orang yang bergerak sepanjang cuti Festival Pertengahan Musim Luruh, cuti umum tiga hari di China.

Taman dan perniagaan ditutup apabila empat daerah di Shanghai meningkatkan amaran cuaca ke tahap tertinggi, beberapa perkhidmatan kereta api metro terganggu dan lebuh raya serta jalan bertingkat juga ditutup kepada lalu lintas atau mempunyai sekatan kelajuan khas.

Pusat peranginan di Shanghai, termasuk Shanghai Disney Resort, Jinjiang Amusement Park dan Shanghai Wild Animal Park telah ditutup buat sementara waktu dan banyak operasi perkhidmatan feri dihentikan.

Menjelang awal petang Isnin, mata ribut telah melintasi dari Shanghai ke wilayah Jiangsu yang bersebelahan, walaupun hujan dijangka berterusan di ibu negara kewangan China sepanjang hari itu.

Shanghai jarang mengalami hentaman langsung daripada taufan kuat yang biasanya mendarat lebih jauh ke selatan di China. Yagi, ribut Kategori 4 yang merosakkan, melanda wilayah Hainan selatan pada minggu lalu. -Agensi – HARAKAHDAILY 16/9/2024

- Advertisement -