Malaysia dibentuk daripada gabungan negeri

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia pada hari ini.

Beliau berkata, Malaysia dibentuk daripada gabungan negeri-negeri.

Menurutnya, tanpa negeri-negeri, maka Malaysia tiada bumi dan laut kecuali Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -

Katanya lagi, ketika perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri telah menyerahkan banyak perkara kepada bidang kuasa pentadbiran Persekutuan.

Ini, ujarnya bukan sebab negeri-negeri tidak pandai mengurus hasil kekayaan bumi masing-masing.

Beliau berkata, dalam perjanjian Persekutuan Malaysia, hasil khazanah dalam perut bumi dan lautan serta hasil-hasil cukai negeri-negeri telah lepaskan kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya lagi, bidang kuasa negeri hanya agama, tanah dan air.

“Sebagai timbal balas atas penyerahan kuasa negeri kepada pusat, maka perjanjian menetapkan pusat kena salurkan dana, duit dan segala bentuk kewangan,” ujarnya menerusi catatan di laman sosialnya.

Ini, ujarnya bukan sebab ehsan pusat atau murah hati Perdana Menteri.

“Sama ada kerajaan negeri pandai cari duit atau tak ada duit, hak negeri adalah menerima dana daripada pusat sebagaimana perjanjian,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Beliau menambah, Terengganu pula takdirnya kaya dengan hasil petroleum.

Menurut beliau, Allah mengurniakan minyak untuk rakyat Terengganu.

“Kerana perjanjian Persekutuan Malaysia, Terengganu serahkan hasil petroleumnya kepada pusat berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, hasil keuntungan petroleum daripada syarikat-syarikat minyak diserah kepada pusat.

“Selepas Terengganu serahkan kepada pusat, kita dihadapkan dengan pelbagai kerenah birokrasi, mehnah dan halangan untuk dapatkan hasil dari bumi sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

- Advertisement -