
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan program tahunan ‘Musing Ketang,’ selama tiga hari bermula Sabtu lalu bersempena sambutan Hari Malaysia.
Menurut pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abd Rahman, program itu bukan sahaja mempromosikan keunikan budaya dan tradisi negeri ini, tetapi juga menyemai semangat nasionalisme dalam kalangan pengunjung.
Katanya, Musing Ketang merupakan istilah dalam loghat Terengganu yang bermaksud ‘berjalan-jalan’ atau ‘bersiar-siar’ dalam satu kawasan.“Antara aktiviti yang ditonjolkan adalah permainan tradisional seperti gasing, silat, congkak, serta pameran produk kraftangan terkenal seperti tembaga dan replika bot tradisional Terengganu.
“Jadi untuk ‘Musing Ketang’ ini kita mengambil peluang daripada hari Malaysia bukan sahaja ianya sebagai cuti umum untuk negara kita, tetapi untuk kita mengimbau kembali kenangan untuk Hari Malaysia ini.
“Bila datang ke sini, mereka dapat mengimbau kenangan-kenangan sejarah (lama) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut di Kampung Budaya Terengganu, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Mengulas lanjut beliau berkata, Musing Ketang berbeza dengan program kebudayaan terdahulu seperti ‘Newor’ yang fokus kepada persembahan silat.
“Program Newor lebih kepada kebudayaan kita melihat kepada aktiviti kumpulan silat yang kita menampilkan pelbagai jenis silat, silat kura, gayong yang masih ada di negeri Terengganu ini.
“Musing Ketang memperkenalkan pelbagai aspek industri pelancongan Terengganu, seperti mengenali jenis pokok bersejarah di Kampung Budaya.
“Selain itu, program ini juga bertindak sebagai ‘one-stop center’ untuk mempamerkan produk pelancongan negeri secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2024











