
GLUCHOLAZY, Poland: Angka kematian di Eropah Tengah dan Timur meningkat kepada 10 orang ketika Ribut Boris terus melanda dengan ganas di wilayah itu, menyebabkan malapetaka ‘tiga serangkai’ terdiri daripada angin kencang, hujan lebat luar biasa dan banjir besar.
Pada Ahad, seorang lemas di barat daya Poland, seorang anggota bomba yang mengambil bahagian dalam usaha menyelamat terbunuh di Austria, dan dua lagi maut di Romania ketika angin kencang dan hujan lebat diramal berterusan untuk hari keempat pada Isnin.
Terdahulu, empat orang terkorban akibat banjir di Romania pada hari Sabtu.
Jurucakap kerajaan negeri Lower, Austria pula berkata, lapan orang terbunuh pada hujung minggu di negeri-negeri Eropah Timur dan Tengah, manakala dua lagi maut akibat banjir di Austria pada hari ini, Isnin – kedua-duanya lelaki, masing-masing berusia 70 dan 80 tahun, ditemui mati oleh perkhidmatan kecemasan selepas terperangkap di rumah mereka, lapor CNN.
Beribu-ribu orang telah dipindahkan pada Ahad dari rumah mereka di Republik Czech berikutan hujan lebat beberapa hari yang menyebabkan sungai melimpahkan tebing mereka di beberapa bahagian di wilayah itu.
Sistem tekanan rendah udara dikenali sebagai Boris telah mencetuskan hujan lebat melangkau dari Austria ke Romania, membawa kepada beberapa banjir terburuk dalam hampir tiga dekad di kawasan yang dilanda teruk di Republik Czech dan Poland.

Lebih banyak hujan dan angin kencang diramalkan sehingga sekurang-kurangnya pada Isnin, walaupun hujan reda pada Ahad di Romania, yang menanggung beban banjir sehari sebelumnya.
Beribu-ribu rumah rosak pada hujung minggu, jambatan hanyut dan sekurang-kurangnya 250,000 isi rumah, terutamanya di Republik Czech, terjejas akibat terputusnya bekalan elektrik.

Di Lower Austria, wilayah sekitar Vienna, lokasi di mana pegawai kerajaan berkata, seorang anggota bomba telah terkorban, pihak berkuasa mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon bencana dan memberi amaran terhadap perjalanan yang tidak penting.
Sebuah jambatan runtuh di bandar bersejarah Glucholazy di Poland berhampiran sempadan Czech dan pegawai tempatan mengarahkan pemindahan pada awal Ahad.

Media tempatan berkata satu lagi jambatan runtuh di bandar pergunungan Stronie Slaskie, di mana sebuah empangan pecah, menurut perkhidmatan cuaca Poland.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk yang melawat kawasan banjir berdekatan berkata pada platform X, kerajaan akan mengumumkan keadaan bencana dan mendapatkan bantuan Kesatuan Eropah.

Di negara jiran Republik Czech, polis berkata mereka sedang mencari tiga orang yang berada di dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam sungai Staric pada hari Sabtu berhampiran Lipova-lazne, sebuah kampung kira-kira 235 kilometer (146 batu) timur ibu negara, Prague.
Hujan di kawasan itu telah mencecah kira-kira 500mm (19.7 inci) sejak Rabu.

Di ibu negara Hungary, Budapest, pihak berkuasa mengumumkan ramalan paras sungai Danube meningkat pada separuh kedua minggu ini kepada lebih 8.5 meter (27.9 kaki), menghampiri rekod 8.91 meter (29.2 kaki) pada 2013.
Ketika hujan reda di Romania pula, pekerja berusaha untuk memulihkan bekalan kuasa kepada kira-kira 11,000 rumah dan usaha pembersihan bermula ketika penduduk meninjau kerosakan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/9/2024




















