Guna alat muzik: Perarakan calon BN ingkar peraturan SPR

Perarakan calon bagi Barisan Nasional (BN) yang jelas dilihat menggunakan alat muzik gendang di Kluang, Johor pada hari ini, 24 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)
- Advertisement -

KLUANG: Perarakan calon bagi Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Pilihah Raya Kecil Mahkota yang menggunakan alat muzik gendang dilihat tidak mematuhi larangan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara itu berlaku ketika penyokong BN dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang menunggu proses penamaan calon selesai di prkarangan Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Bunyi gendang itu dapat didengari dengan jelas oleh penyokong-penyokong PN yang berhimpun kira-kira 300 meter dari lokasi perhimpunan BN. 

Terdahulu, dalam satu laporan media pada Khamis lepas, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, penggunaan semua jenis alat muzik sepanjang perarakan itu adalah dilarang.

Menurut  Ikmalrudin, ia termasuk juga penggunaan pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan serta larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan.

Tambahnya dalam laporan itu, perbuatan-perbuatan di atas adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Dalam  penamaan calon pagi tadi, dua calon disahkan bertanding dalam pertembungan satu awan satu antara calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ menentang calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah.

SPR menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September 2024.

Tarikh 28 September 2024 pula ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.

Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September 2024 melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.

Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK Mahkota,yang mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -