
KLUANG: Tokoh sukan dan bekas pemain bola sepak Johor F.A era 80an, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ kini sah sebagai calon mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Ia adalah susulan pencalonan beliau diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada penamaan calon yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang itu pernah mewakili Johor FA dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Piala Razak dan Piala Presiden pada era 80an.
Coach Haizan merupakan anak jati Kluang, dilahirkan di Layang-layang dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana di mana bapanya adalah seorang pesara kerajaan di Pejabat Kesihatan Daerah Kluang.
Pendidikan awal beliau di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmud 1 Kluang, kemudian terus ke Sekolah Tinggi Kluang.
Setelah itu, beliau terus menabur bakti dan berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan sebagai Pembantu Sukan.

Berkat komitmen dan integriti yang utuh, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam pada tahun 2002 dan juga 2016.
Ketika berada di dalam perkhidmatan Coach Haizan telah dianugerahkan Diploma Of Fitness pada Jun 1995 oleh The Canadian Association of Health Physical Education And Recreation dengan kerjasama The Canadian International Development Agency.
Kerjaya bola sepak beliau diteruskan sebagai pemain semi pro Negeri Johor dan pernah mewakili Johor ke Pertandingan Piala Emas Raja-Raja.
Kini beliau merupakan seorang jurulatih bola sepak dengan memegang lesen B dalam bidang kejurulatihan.
Disiplin, ketegasan dan keakraban beliau dengan anak-anak muda telah menjadikan beliau terkenal dengan gelaran ‘coach’ dalam kalangan masyarakat Kluang yang majmuk.
Coach Haizan pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk beberapa pasukan bola sepak seperti Johor Indian yang bersaing di dalam pertandingan Piala Bardhan dan pasukan Remaja Cina Kluang yang bersaing di pertandingan Chinese Kluang Cup.
Penglibatan dan sumbangan beliau dalam pembangunan sukan dan modal insan setempat serta personaliti beliau yang mesra dan peramah menjadikan ‘Coach’ sebagai aktivis masyarakat yang cukup disenangi di kalangan warga Kluang pelbagai peringkat.
Selain menjadi jurulatih, beliau juga merupakan pengusaha dalam bidang perkhidmatan makanan, dan telah mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak.
Beliau juga merupakan Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Kluang yang sehingga kini bertanggungjawab menyelaras 28 KRT di dalam Daerah Kluang,” ujarnya.
Coach Haizan juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang dan Presiden Kelab Sukan Dan Kebajikan Intan Kluang.

Kerusi DUN Mahkota dikosongkan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September.
Tarikh 28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.
Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu di mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – HARAKAHDAILY 14/9/2024




















