
TEMERLOH: PAS Negeri Pahang telah berjaya menyerlahkan peningkatan dari Pilihan Raya Umum dari penggal ke penggal hinggalah pada PRU15 Ogos 2022 yang lepas memenangi 15 kerusi DUN.
Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata yang juga Pengerusi Panitia Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 berkata, paling ketara apabila memenangi tujuh kerusi Parlimen berbanding tidak sebarang kerusi PRU14 sebelum itu.
“Barisan Nasional (BN) pula hanya memperoleh lima kerusi sahaja dalam PRU yang lalu,” katanya ketika memberi ucapan aluan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini hari ini.
Menurut beliau, kemenangan tersebut membuktikan bahawa PAS mengamalkan sistem politik yang bebas daripada amalan rasuah, malah yakin menjelang PRU16 nanti, Perikatan Nasional akan menerajui Kerajaan Negeri Pahang.
Tambah beliau, PAS juga menggalakkan kebebasan media berbanding dengan segala tindakan tidak demokratik yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini.
“Kecelaruan dasar, konflik dalaman PH-BN semakin menghakis sokongan rakyat. PH-BN mengulang kebobrokan mereka. Sudah banyak janji yang diberikan oleh kerajaan pada hari ini tetapi mereka sendiri tidak menunaikannya setelah mentadbir negara ini.
“Kalau sebelum ini mereka yang memperjuangkan perkara seperti kebebasan bersuara tetapi sekarang lain pula yang berlaku.
“Mereka juga pernah melaungkan lagu ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ sebagai protes terhadap rasuah tetapi sekarang mereka juga melakukan perkara yang sama.
“Oleh sebab itu, PAS sememangnya berbeza dengan apa yang mereka lakukan dan menyebabkan orang ramai mula memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.
Sehubungan itu, Takiyuddin menyatakan sudah tiba masanya untuk PAS bekerja keras bagi memastikan Pahang akan dapat ke tangan PN dalam PRU16 setelah Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menunjukkan kelemahan.
Dalam pada itu maklum beliau, muktamar ini sepatutnya diadakan pada Julai lalu tetapi terpaksa tunda, manakala untuk penamaan calon PRK DUN Mahkota di Kluang Johor hari ini, ia diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PAS pula beritahunya, diwakili Naib Presiden, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin.
Katanya, infrastruktur dan prasarana muktamar kali ini iaitu Kompleks Al-Makmur membuat persiapan akhir dalam masa tiga bulan menerusi peranan Pasukan Taawun di bawah teraju Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu.
Takiyuddin turut menyatakan mengenai penolakan penggerak-penggerak Reformasi yang telah mengalih sokongan mereka daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana hilang keyakinan kepada beliau. HARAKAHDAILY 14/9/2024











