
TEMERLOH: Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yakin Perikatan Nasional (PN) lebih bersedia untuk menawan negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang.
Ahli Parlimen Beluran yang ditemui Harakahdaily mengucapkan tahniah kepada PAS kerana berjaya mengadakan Muktamar Tahunan Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini pada hari ini.
“Saya yakin dengan cara ini dapat mengukuhkan kekuatan PN bagi menghadapi PRU yang akan datang. Saya yakin gabungan PN ini akan menjadi ‘political force’ dalam menghadapi situasi tersebut,” katanya.
Menurut beliau, PN telahpun menunjukkan kemampuannya serta telah melangkaui kekuatan pihak lawan dalam negeri Pahang ketika berlangsungnya PRU sebelum ini.
Tambah beliau, tidak mustahil bahawa satu hari nanti negeri Pahang akan mula jatuh ke tangan PN untuk menegakkan pemerintahan sendiri di negeri ini.
“Dalam PRU yang lalu PN telahpun mendahului pihak lawan dalam merebut kerusi di negeri Pahang. Maka, saya yakin bahawa PN akan dapat menguasai negeri tersebut dalam PRU yang akan datang pula.
“Dengan lain kata, Pahang akan jadi negeri seterusnya (next state) sebagai sasaran untuk ditadbir oleh PN,” jelasnya meyakini peningkatan ditunjukkan PN di Pahang.
Sehubungan itu, Dr Ronald kagum dengan pendirian PAS yang secara konsisten tidak akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua keadaan.
Kata beliau lagi, ini merupakan satu aspirasi yang mengukuhkan PN yang mana rakyat Malaysia boleh melihat sendiri ketegasan pendirian tersebut.
“Jadi saya yakin bahawa gabungan Perikatan Nasional (PN) ini adalah sampai bila-bila iaitu forever,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











