PAS Pahang bermula di sini!

Muktamar PAS di Kerdau yang bersejarah

- Advertisement -

PAS Pahang bermula di Kerdau pada tahun 1954 di mana ranting pertama PAS Pahang ditubuhkan ialah di Kuala Kerdau. Aroma perjuangan Islam seperti angin semilir Sungai Pahang yang menyimpan sejuta rasa duka dan luka bumi pahlawan Melayu ini.

- Advertisement -

Minggu ini berdesakan amilin dan penyokong PAS memadati Kompleks Al Makmur Kerdau dalam euforia ceria dengan membuncah semangat untuk menggerakkan gelombang kemenangan PRU16.

Pahang bumi nan indah nian, lahan tanahnya subur sehingga didatangi rakyat luar Pahang untuk membuka tanah mencurah keringat. Mercu tandanya, sungai terpanjang dan banjaran terbesar ada di negara ini. Penjajah Barat mengintai jelira bumi Pahang yang berdaulat kerana kekayaan hasil buminya, terutama emas dan besi. Negeri pahlawan terbilang tanah leluhur menentang penjajah Pax Britannica, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Imam Peramu dan ramai lagi anak Melayu pemberani. Negeri yang paling luas di Semenanjung emas ini juga sarat dengan rangkaian FELDA serta tempat buangan penjawat awam dalam dekad 80-an dan 90-an.

Jarang-jarang Pahang berpeluang menjadi tuan rumah Muktamar PAS Pusat kecuali pada tahun 2019 kerana negeri ini bukanlah lubuk PAS, juga faktor kemudahan pengangkutan, akses dan pelbagai pertimbangan yang lain. Negeri Pahang juga merupakan kubu UMNO BN yang berpengkalan di FELDA sebelum 2022, juga sering menjadi tempat buangan aktivis PAS dalam dekad 80-an. Di antara sesepuh perjuangan PAS yang pernah dibuang ke sini ialah Cikgu Abdul Wahab Abdul Rahman, Almarhum Ustaz Ismail Dagang dan beberapa orang yang lain. Lipis, Jerantut, Rompin dan Raub merupakan di antara daerah buangan popular bagi penjawat awam yang menentang kerajaan, terutamanya kaum pendidik.

Kawasan pedalaman ini akhirnya mula subur meranum dengan pengaruh PAS, terutama dengan bercambahnya pusat pendidikan Islam yang digerakkan oleh tokoh-tokoh PAS. PAS tidak mampu dipisahkan dengan agamawan dan pusat pengajian Islam sama ada yang formal atau pun yang tidak formal.

Sejarah PAS di Pahang juga menarik; ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol, Perak telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada bulan Mac 1948, namun umur parti Islam sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama Umno dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Pahang dengan karektor warganya yang tenang namun mengalir darah-darah pejuang, justeru dengan mudahnya PAS juga berkembang sehingga ke kawasan pedalaman Hulu Tembeling!

Pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air kita juga dibidankan di negeri Pahang seperti Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Haji Yaakob, malah PKM pernah merekrut orang Melayu Pahang termasuk Abu Samah untuk menyertai Regimen Ke-10. Ramai anak Pahang bergerila dalam hutan sebelum merdeka kerana mempercayai propaganda PKM untuk memerdekakan Malaya daripada penjajah British.

PAS Pahang telah ditubuhkan pada tahun 1954 dan melebarkan sokongannya di daerah Temerloh. Pesuruhjaya PAS Pahang yang pertama ialah Haji Mohamed Yasin bin Salleh. PAS Pahang pernah dipimpin oleh kerabat Istana Pahang iaitu Tengku Abdul Hamid ibni Sultan Abdullah. Setelah dua tahun memimpin PAS Pahang, Almarhum telah dipujuk oleh kerabat Istana Pahang untuk melepaskan jawatan penting itu kerana tidak disenangi oleh parti pemerintah saat itu.

PAS Pahang juga pernah melahirkan tokoh-tokoh PAS peringkat nasional seperti Tuan Guru Haji Ahmad Baqi Osman, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Haji Shuhaimi Said, Cikgu Rusdi Arif, Ustazah Azizah Lebai Mat, ,Tengku Puji Tengku Hamid, Ustaz Idris Omar, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain tokoh.

Pahang dalam tempoh dua dekad ini menyaksikan kebangkitan jihad ta’lim dan kemunculan sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz serta pondok moden seperti cendawan tumbuh.

Kuliah-kuliah agama di negeri ini juga sangat meriah dengan jumlah asatizah yang semakin meningkat bilangannya. PRU 14 menyaksikan PAS telah memenangi lapan buah kerusi DUN iaitu Jengka, Beserah, Tahan, Damak, Panching, Tanjung Lumpur, Luit dan Chenor.

Anggota-anggota legislatif PAS juga memainkan peranan yang efisyen di dalam DUN serta di medan operasi masyarakat. Peningkatan mendadak pertambahan kerusi DUN PAS di Pahang kepada 15 kerusi dalam PRN 15, manakala dua kerusi DUN lagi disumbangkan oleh calon BERSATU.

Jentera PAS terus bergerak untuk mendekati masyarakat dan pengundi tanpa lelah dan jemu. Melalui pelbagai jaringan sivil bernuansa kebajikan, jentera PAS terus menyantuni ummah, contohnya dalam misi bantuan banjir 2021 dan 2020.

Walaupun PAS tidak menguasai kerajaan negeri Pahang namun kelibat aktivis PAS kelihatan berada di mana-mana membantu masyarakat. Dalam kondisi tanpa kuasa dan tidak mempunyai dana yang lumayanpun, pimpinan dan jentera PAS Pahang mampu mengadakan pelbagai program seperti acara kahwin perdana, membaiki rumah asnaf, sunathon ,sukan anak muda dan pelbagai program.

PAS Pahang pula dipimpin oleh tokoh yang merakyat, Ustaz Dato’ Rosli Abdul Jabar (ADUN Tanjung Lumpur). Pesuruhjaya PAS Pahang ini bukan sekadar mendidik rakyat di meja kuliah namun setia bersama rakyat yang mengalami kesusahan hidup. Kerja keras tanpa lelah inilah yang menjadikan anak- anak muda Pahang meminati PAS berbanding parti-parti yang lain.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 ini dengan dokongan jentera PAS Pahang minggu ini adalah manifestasi kesungguhan dan tekad para amilin PAS untuk menguasai negeri ini dalam PRU16.

Majlis himpunan tahunan PAS minggu ini dengan ribuan para amilin PAS meriah bersipongang dengan laungan takbir membesarkan Allah, diserikan dengan pelbagai program sisipan semenjak 11 September lagi, termasuk pada malamnya dengan ceramah perdana dan malam kesenian Islam.

PAS Pahang sedang menggerakkan akar umbi  semaksimum mungkin bagi merubah landskap politik Pahang, merengkuh sokongan ummat bagi memerintah Pahang pasca PRU16!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -