
TEMERLOH: “Pemimpin kerajaan pada hari ini tidak mempedulikan soal perpaduan, sebab itu mereka menganggap kenyataan Teresa Kok itu kenyataan peribadi.”
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan tersebut sebaliknya adalah kenyataan yang amat menyinggung hal orang Islam.
“Jadi, apabila mereka tidak mempedulikan perpaduan, macam mana mereka nak membentuk dan menyemai budaya ataupun perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sesama kerajaan perpaduan itu sendiri pun tidak ada perpaduan. Hari ini (11 September) Teresa Kok mengemukakan surat menyaman Ketua Pemuda Umno (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh).
“Sedangkan mereka dalam satu kerajaan yang sama. Sepatutnya tidak dibuat begitu,” katanya dalam sidang media Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65, di sini, malam ini.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri; dan Naib Ketua DPPM, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.
Menurut Afnan yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar, perkara berkenaan menunjukkan sikap ‘abang besar’ DAP dalam kerajaan, di mana mereka lah sebenarnya yang mengatur di sebalik semua masalah yang berlaku.
“Jadi sebab itu, Pemuda PAS meletakkan tema kita memimpin.
“Kita kena terus memimpin kebangkitan rakyat, kebangkitan anak muda untuk menyelamatkan Malaysia daripada orang-orang yang tidak tahu mentadbir, yang hanya menggunakan kuasa untuk membalas dendam untuk kepentingan politik peribadi mereka,” katanya
Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan pada hari ini telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) ganti rugi RM25 juta kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu pensijilan halal.
Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya, Sankara Nair and Partners, Naib Pengerusi DAP itu juga menuntut Muhamad Akmal agar membayar semua kos guaman dan perbelanjaan berkaitan saman tersebut
Dalam dakwaannya, Teresa menyatakan bahawa Muhamad Akmal telah memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Kandungan notis berkenaan antaranya berbunyi, “Kami menunggu jawapan anda tanpa berlengah-lengah. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi.”
Bertindak balas segera terhadap notis yang dikemukakan Teresa itu, Muhamad Akmal melalui media sosialnya berkata, “Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear no surrender.” HARAKAHDAILY 11/9/2024




















