
TEMERLOH: “Kita hampir tidak mempunyai sebarang isu berkaitan perkauman dalam negeri yang ditadbir oleh PAS itu sendiri iaitu Kelantan.”
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, orang ramai boleh melihat bagaimana ramai orang bukan Islam dapat hidup dengan tenang di negeri tersebut.
“Kita siap membenarkan mereka beribadah lagi dan patung Buddha yang tertinggi pun ada di Kelantan.
“Semua penduduk di negeri Kelantan pun menghormati kehidupan antara satu sama yang lain,” katanya dalam sidang media Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)Kali Ke-65 di Kompleks Al-Makmur, di sini, malam ini.
Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden; Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri; dan Naib Ketua DPPM, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.
Menurut beliau, isu besar yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah wujudnya sifat saling curiga sesama bangsa.
Tambah beliau, perkara tersebut adalah berpunca daripada faktor penggunaan bahasa bangsa itu sendiri.
“Oleh sebab itu kita tekankan bahasa Malaysia perlu dijadikan sebagai bahasa pengantara kerana sekiranya bahasa kaum bercakap dalam bahasa mereka maka akan timbulnya sifat buruk sangka.
“Sebagai contoh, orang Cina akan cakap Cina yang mana orang Melayu sudah tentu tidak akan faham apa yang mereka katakan.
“Maka, kesannya akan timbul sifat buruk sangka tetapi kalau semua kaum menggunakan satu bahasa, maka ia dapat mengurangkan masalah tersebut.
“Malah, dalam Islam pun ada menyatakan kalau kita tiga, tetapi berbisik dua orang sahaja pun tak boleh kerana boleh membawa kepada berlakunya sifat buruk sangka,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ibrahim menyatakan model pemerintahan di negeri Kelantan dalam penyatuan kaum dapat digunakan dalam menyelesaikan masalah perpaduan sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat mentadbir semula negara ini.
Kata beliau lagi, masalah perpaduan dalam negara ini perlu dilihat secara menyeluruh supaya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
“Saya percaya semua bangsa sayangkan negara ini dan tiada seorang pun mahukan berlakunya pertembungan kaum.
“Maka, kita sudah ada model negeri Kelantan itu sendiri sebagai satu contoh bagaimana PN dapat menyelesaikan masalah perkauman ini,” katanya. HARAKAHDAILY 11/9/2024




















