
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Presiden Umno itu supaya pemimpin PAS yang disiasat perlu bercuti.
Mahathir menyatakan bahawa walaupun Zahid menegaskan pemimpin PAS yang disiasat perlu bercuti, ironinya Zahid sendiri bukan sahaja disiasat, tetapi juga telah didakwa di mahkamah, sedangkan dia tidak bercuti.
“Perbicaraan (ke atasnya) sebenarnya telah dihentikan, (namun) dia dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau yang juga dikenali sebagai Tun M menambah bahawa situasi politik di Malaysia kini kelihatan tidak adil, apabila seseorang yang didakwa di mahkamah boleh dilantik ke jawatan penting dalam kerajaan dan akhirnya dakwaan tersebut digugurkan.
Mahathir turut mengkritik amalan rasuah dalam negara secara sindiran dengan menyatakan bahawa individu yang mencuri berbilion ringgit tidak dihukum, merujuk kepada skandal melibatkan pemimpin politik negara.
Kenyataan pedas beliau itu ternyata memberi gambaran jelas mengenai pandangan Tun M terhadap senario politik semasa di Malaysia. – HARAKAHDAILY 10/9/2024




















