
LAHAD DATU: Mendidik anak adalah antara cabaran besar buat ibu bapa kerana tidaklah semudah yang disangka dengan pelbagai dugaan dan cabaran harus ditempuhi.
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lahad, Ustaz Zaki Ibrahim, dalam memastikan anak-anak menjadi insan berguna, ilmu keibubapaan amat penting dalam pembinaan keluarga antaranya peranan ibu bapa dalam menjadi teladan kepada anak-anak.
Sehubungan itu, katanya PAS begitu komited menyediakan institusi pendidikan di kawasan Lahad Datu yang kini sudah mempunyai tujuh PASTI dan sebuah SRITI bagi melahirkan biah soleh dalam pendidikan anak-anak.

“Kini cabarannya kian bertambah dalam memastikan kemenjadian anak-anak, maka persiapkanlah dengan didikan agama yang lengkap dan semampu mungkin agar anak-anak terus menjadi hebat dan berbakti kepada agama dan ibu bapa.
“Berkat ibu bapa yang membantu agama Allah juga akan menjadikan anak-anak sentiasa mencapai kejayaan kerana ibu bapa yang menolong agama Allah ini bukan biasa-biasa, bahkan Allah akan menolong keluarga ini mendapatkan sakinah dan keberkatan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Karnival Sukan PASTI Lahad Datu, kelmarin.
Beliau juga mengingatkan hadirin bahawa tugas menegakkan Islam adalah tugas semua lapisan masyarakat, tanpa ada yang terkecuali.
Sementara itu, Karnival Sukan PASTI Lahad Datu adalah julung kali diadakan selama dua hari yang melibatkan tiga program sekali gus iaitu, Fun Run Fun Ride, Sukan JIBG dan Temasya Sukan PASTI.
Program Fun Run Fun Ride disertai lebih 400 murid PASTI yang bertujuan melengkapi komponen 5C ‘Celik Cerdas’ dalam rekod Sistem Penilaian Prestasi Murid (SPPM) di bawah kurikulum PASTI.
Bagi Sukan JIBG, dalam acara futsal telah dimenangi oleh JIBG PASTI Permata Kasih, acara bola jaring dimenangi oleh JIBG PASTI Al-Falah manakala acara bola tampar telah dimenangi oleh JIBG PASTI An-Najah.
Seterusnya acara kemuncak, PASTI Al-Falah telah dinobatkan menjadi juara keseluruhan Temasya Sukan PASTI Lahad Datu, diikuti PASTI Permata Kasih dan PASTI An-Najah di tempat ketiga.
Turut hadir, Ketua Pemuda PAS kawasan, Landari Labobo dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











