
KUALA LUMPUR: “Semua orang dijemput untuk datang ke Muktamar Peringkat Pemuda PAS Pusat yang bertempat di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Pahang.”
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-65 itu akan diadakan pada esok, Rabu (11 Sept) dan lusa, Khamis (12 Sept).
“Sebab apa kena datang muktamar adalah kerana inilah tempat untuk kita mendengar pandangan-pandangan daripada akar umbi di bawah,” katanya dalam kenyataan melalui videonya yang disiarkan dalam akaun media sosial Facebook Pemuda PAS Malaysia.
Menurut beliau, semua orang boleh melihat haja tuju parti PAS iaitu ketika dalam situasi politik semasa.
Tambahnya, kehadiran orang ramai dalam muktamar ini juga supaya boleh melihat keadaan negara yang berlaku pada hari ini.
“Dalam keadaan sokongan anak muda yang sudah pun tinggi dan meningkat kepada PAS melalui Perikatan Nasional (PN) maka kita kena hadir dalam Muktamar ini.
“Ini bertujuan supaya orang ramai boleh melihat hala tuju parti dalam situasi politik dan negara semasa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Afnan menyatakan kehadiran orang ramai dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia juga penting supaya dapat melihat perjuangan PAS dalam menyelamatkan negara Malaysia.
“Maka, kita kena hadir ke Muktamar ini dan barulah kita boleh memacu perjuangan kita dengan lebih cantik untuk sampai ke destinasi menyelamatkan negara ini daripada kezaliman kerajaan sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024




















