Umno, DAP jangan sorok perkahwinan dari rakyat

PRN DUN Mahkota

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno diminta agar tidak menyorokkan ‘perkahwinannya’ dengan DAP dari pengetahuan rakyat terutama orang-orang Melayu di DUN Mahkota, Johor.

- Advertisement -

Mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata, Umno hakikatnya tidak mahu orang-orang Melayu tahu ‘hubungan’ mereka itu kerana orang Melayu kebanyakannya tidak boleh menerima DAP.

“Mereka cuba tutup atau sorok hubungan mereka dengan DAP kepada orang-orang Melayu, sebab itu dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun mereka tidak jemput DAP.

“Pemimpin-pemimpin Umno malu berkawan dengan DAP. Mereka mahu berkawan untuk kuasa, tetapi malu dan sorok-sorok hubungan ini di hadapan orang ramai dan di hadapan akar umbi mereka sendiri.

“Mereka malu tetapi mahu. DAP pun sama. Depan mereka perlu kritik, belakang mereka berpeluk,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Isham mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berkaitan cadangan mewajibkan sijil Halal kepada restoran-restoran yang disifatkan akan memalukan negara.

“Di Mahkota jumlah pengundi adalah 66,318 dan 54 peratus daripadanya adalah Melayu, 46 peratus adalah bukan-Melayu. Pada PRN 2011 yang lepas, saya telah turut berkempen untuk arwah YB Syarifah Azizah di sini

“Beliau (Allahyarhamah) telah menang dengan majoriti lebih lima ribu undi. Semasa PRN tersebut, BN telah menang dengan meraih lebih 16,000 undi di Mahkota, dan PH telah mendapat 11,000 undi.

“Manakala PN telah mendapat 7,000 undi. Daripada congak ini, gabungan PH-BN mempunyai kelebihan untuk menang besar di Mahkota,” katanya.

Tambah beliau, jika ditambah 11,000 undi PH (dan DAP) di situ dengan 16,000 undi BN dan tolak 7,000 undi yang PN dapat pada PRN yang lepas, PH-BN boleh menang dengan 20,000 majoriti pada PRK Mahkota itu nanti.

“Jika orang-orang Melayu di Johor sokong kerjasama PH-BN (dan Umno-DAP) ini, maka mereka akan undi calon PH-BN dari Umno di Mahkota kali ini. Jika mereka tidak setuju, mereka tidak akan keluar mengundi, atau mereka akan undi PN.

“Pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PAN pula terpaksa sokong dan undi calon Umno di sini. Jika Umno menang besar di sini, calon PAN tidak akan ada peluang lagi untuk bertanding di sini. Mereka terpaksa terima hakikat ini,” katanya.

Tambah Isham, para pengundi bukan-Melayu terutama penyokong-penyokong DAP tentunya akan mengundi PH-BN dan calon Umno kali ini, sebab kemenangan ini akan menguatkan lagi gabungan PH-BN justeru kuasa politik DAP di negara ini.

“Kemenangan PH-BN di sini akan lebih mendorong BN dan PH untuk bekerjasama dalam PRN Johor yang akan datang dan dalam PRU-16 kelak.

“Sebab itu apabila Teresa Kok komen berkenaan isu logo Halal, pemimpin PH termasuklah Perdana Menteri Anwar Ibrahim pun menempelak Teresa,” katanya.

Kata Isham, orang-orang Melayu tidak suka DAP sebab perkara-perkara sebegini, sedangkan dalam masa yang sama Zahid dan pemimpin-pemimpin Umno pula sedang berusaha keras untuk mengikis imej UmDAP mereka.

Isham turut menyindir DAP agar tidak menyorokkan kepada penyokong mereka yang parti itu kini sudahpun berkahwin dengan Umno.

“Pemimpin Umno juga tidak boleh sorok kepada orang-orang Melayu bahawa ia kini berkahwin dengan DAP. Bila sudah kahwin, jangan malu untuk bawa jumpa keluarga,” sindirnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -