
KOTA BHARU: Usaha untuk membangun aktiviti sukan di Kelantan berdepan dengan kesukaran memandangkan kurang mendapat kerjasama agensi kerajaan Pusat.
Terbaharu anggota Exco kerajaan negeri dihalang untuk bertemu atlet Kelantan yang akan mewakili negeri itu ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, apa yang berlaku itu amat mendukacitakan.
Katanya, beliau terkilan kerana dilarang bertemu atlet berkenaan biarpun hanya sekadar untuk memberi kata-kata semangat menjelang kejohanan yang akan berlangsung minggu hadapan.
“Pada awalnya saya dihubungi bapa salah seorang atlet dan meminta bertemu atlet-atlet muda atas kapasiti sebagai Exco Sukan bagi memberi kata-kata semangat.
“Bagaimanapun individu berkenaan kemudiannya menghantar mesej memaklumkan Kementerian Pendidikan tidak memberi keizinan untuk hadir ke pusat latihan atlet terbabit.
“Kita memahami antara pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan melarang ahli politik pembangkang terlibat dalam aktiviti di sekolah,” katanya di sini.
Menurutnya beliau terkilan kerana terpaksa mengecewakan harapan ayah kepada atlet muda Kelantan.
Katanya juga beliau memang berhasrat bertemu atlet-atlet yang bakal mewakili Kelantan untuk melihat persediaan serta memberi semangat kepada mereka.
“Saya menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk meminta beliau berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sekurang-kurangnya diberi kelonggaran demi kepentingan pembangunan sukan negara.
“Secara umumnya Menteri Belia dan Sukan memberi respons positif. Saya akan mengutuskan surat secara rasmi kepada Menteri Pendidikan untuk meminta kelonggaran tersebut,” katanya.
Zamakshari juga berkata, demi kepentingan pembangunan sukan, polisi seperti itu perlu dibuang kerana merugikan masa hadapan sukan di Malaysia. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











