Halal, haram bezakan Muslim dengan bukan Islam

Ustaz Abdul Karim Sidek
- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Abdul Karim Sidek menyifatkan isu halal dan haram sebagai benteng terakhir yang membezakan seorang Muslim daripada orang bukan Islam.

Beliau berkata, selama umat Islam mengekalkan keutamaan tersebut, mereka tidak akan menjadi individu yang langsung tidak menghiraukan hukum halal dan haram.

“Kita biasa jumpa orang Melayu tak tutup aurat dengan baik, tapi bab makan minum mereka masih berjaga jaga.

- Advertisement -

“Ada ramai yang nak travel keluar negara, siap rancang nak makan di mana, halal ke tidak. Bahkan sanggup bawak bekal maggi kalau tak jamin jumpa restoran Muslim atau halal food.

“Walau masih banyak amalan mereka yang tak menepati syarak, akan tetapi makanan halal tetap keutamaan. Mereka berkawan dengan bukan Islam, tetapi ada batasnya bila melibatkan makanan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau juga tidak menafikan walaupun ada segelintir orang Melayu yang melanggar batas-batas agama dalam amalan seharian, apabila isu halal dipersoalkan, mereka tetap bertegas.

“Orang Melayu Islam tetap tak sanggup sampai ke tahap macam orang kafir yang tak ambil peduli langsung apa yang mereka nak makan.

“Asal membelakangkan langit tu, kira halal lah… itu pandangan orang asal yang langsung tak tersentuh tamadun. Takkan orang Melayu Islam sebangsat itu dalam bab halal haram,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Abdul Karim yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Pekan berharap isu halal dan haram menjadi menjadi titik kesedaran bagi Melayu dalam PH yang masih ragu-ragu untuk bercerai daripada parti itu.

“Kalau tidak akan selama-lamanyalah keislaman kamu menjadi masalah kepada mereka. Manakala mereka sentiasa bermasalah dengan kamu.

“Akhirnya kamulah yang makan hati, duduk dalam kebingungan. Nak pegang kuat dengan Islam tak berani, nak buang Islam tak sampai hati,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -