
SETIAP umat mempunyai syariatnya yang tersendiri. Umat merupakan kumpulan manusia yang diutuskan nabi dan rasul kepada mereka. Umat juga bermaksud satu kumpulan manusia yang hebat dan boleh dicontohi. Contohnya, Nabi Ibrahim seorang diri berdakwah dan berdepan dengan Raja Namrud.
Kehebatan peribadinya dan ketabahannya dalam menyampaikan agama menyebabkan Allah menggelarnya sebagai satu ummah. Walaupun baginda seorang diri, tetapi seolah-olah baginda seperti satu kumpulan yang besar dan hebat (Rujuk Surah An-Nahl: 120).
Orang yang diberi khabar gembira ialah orang yang tunduk taat. Sifatnya adalah apabila nama Allah disebut, gementar hatinya. Sebagai contoh, seseorang itu nak melakukan perkara yang tidak baik, kita menegurnya supaya ingat kepada Allah, dia pun terus berhenti. Maknanya, ada iman di dalam hatinya. Inilah tanda bahawa hatinya berasa gerun dan gementar dengan nama Allah.
Sifat yang kedua orang yang tunduk taat ialah sabar terhadap kesusahan yang menimpanya. Walaupun susah dan berdepan dengan ujian-ujian Allah, tetapi dia bersabar. Walaupun hidupnya tidak senang seperti orang lain dan makan ala kadar sahaja, dia tidak bersungut.
Dia tidak membebel kalau tidak memperoleh benda yang dia nak, hilang benda yang dia sayang atau kehilangan orang yang dia sayang. Dia bersabar dan menerimanya dengan redha.
Sabar dengan erti kata lainnya ialah menerima dengan redha. Contohnya, kita susah, kita redha dengan-Nya dan berikhtiar mengatasi kesusahan kita. Bukan kata duduk diam sahaja dan menunggu orang memberikan duit. Kalau sakit perlu berubat. Bukan kata kalau sebut sabar, tidak payah berubat dan biar begitu sahaja.
Ini tidak betul kerana ia bercanggah dengan agama. Sebab ikhtiar perlu ada. Allah memberi kesakitan, Dia juga boleh memberi kesembuhan. Jadi, carilah kesembuhan tersebut dengan ikhtiar. Sabar maknanya tabah menghadapi ujian Allah SWT dengan kita berikhtiar.
Sifat ketiga orang yang tunduk taat ialah orang yang sentiasa mendirikan solat. Kalimah ‘yuqimus solah’ (Rujuk Surah Al-Hajj: 35) digunakan, bukan ‘yusolli’. Sebab kata ulama, ‘yusolli’ ini solat tetapi kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Kalau ‘yuqimus solah’ maknanya solat menjadi tabiatnya. Walau pergi ke mana sekalipun, apabila sampai masa solat, dia akan solat.
Walau susah macam mana sekalipun, apabila sampai waktu solat, dia akan solat. Tidak boleh buat dengan cara biasa, dia buat dengan cara lain. Contohnya, dalam bas atau keretapi, tiada tempat nak solat, maka kita boleh solat dengan cara yang dibenarkan sehinggakan dalam keadaan tertentu yang terdesak mengikut mazhab Syafie, boleh solat untuk menghormati waktu. Namun, wajib untuk qadha’ semula solat tersebut.
Nabi tidak pernah solat fardhu di atas kenderaan. Untuk solat sunat, Nabi akan memperbetulkan dahulu untanya menghadap kiblat, kemudian Baginda akan solat. Setelah itu, unta nak pergi ke arah mana sekalipun, Baginda tidak ambil kisah. Tetapi apabila masuk waktu solat fardhu, Baginda akan turun dari untanya dan solat di atas tanah. Inilah amalan Nabi.
Jadi, Imam Syafie berpegang dengannya. Tetapi, terpulang kepada kita untuk mencari kelonggaran menggunakan mazhab-mazhab lain. Sesetengah kapal terbang menyediakan ruang untuk solat. Tiada masalah. Dalam banyak-banyak mazhab, mazhab Syafielah yang paling cermat dalam bab ibadah. Contohnya bab aurat lelaki, haruslah menutupi juga pusat dan lutut kerana dibimbangi kedua-duanya turut dikira sebagai aurat.
Dalam bab muamalah, mazhab Hanafi lebih menonjol. Sebab Imam Abu Hanifah merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau mempunyai kedai pakaian. Mazhabnya lebih praktikal kerana beliau lebih mengetahuinya.
Sifat yang keempat orang yang tunduk taat ialah yang mendermakan sebahagian dari apa yang Allah kurniakan kepadanya. Sesetengah ulama mentafsirkannya sebagai mengeluarkan zakat. Sebab ia berkait dengan solat. Apabila disebut sahaja solat, datanglah zakat. Kemudian, barulah pergi kepada sedekah, derma, hibah, hadiah dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 10/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















