Pensijilan halal: Bukan Islam tak wajar masuk campur 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Teresa Kok berkenaan cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol adalah amat tidak tepat dan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia, Nurul Noh Omar berkata, sebagai seorang bukan Islam, Naib Presiden DAP itu tidak sewajarnya masuk campur dalam isu yang berkait rapat dengan kepercayaan dan amalan agama Islam.

- Advertisement -

“Isu halal ini lebih daripada sekadar khinzir dan alkohol, ia melibatkan keseluruhan proses penyediaan makanan, termasuk bagaimana daging dan ayam disembelih. 

“Teresa tidak faham bahawa daging dan ayam juga boleh menjadi tidak halal jika tidak disembelih mengikut syarak. 

“Pensijilan halal bukan hanya memastikan bahawa tiada khinzir atau alkohol dalam makanan, tetapi ia juga memastikan bahawa proses penyediaan makanan menepati standard kebersihan dan keagamaan yang ketat,” katanya.

Nurul Noh Omar

Menurutnya, ini termasuk sumber makanan, cara penyembelihan, dan cara penyimpanan yang betul, dan ia amat penting untuk menjaga kepentingan umat Islam yang diwajibkan oleh agama untuk memastikan makanan mereka halal dan suci.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, komen Teresa yang menyebut bahawa pensijilan halal menambah beban kepada pengusaha restoran Melayu juga tidak relevan. 

“Pensijilan halal bukan sekadar satu beban, tetapi ia adalah tanggungjawab moral dan agama untuk memastikan makanan yang dijual kepada umat Islam memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

“Sebarang ulasan tentang halal dari orang yang tidak faham isu halal adalah tidak wajar dan tidak relevan, kerana mereka tidak memahami keperluan dan sensitiviti agama ini.

“Membuat kenyataan yang mengaitkan pensijilan halal dengan beban perniagaan atau imej negara di luar hanya menunjukkan ketidakfahaman mendalam tentang kepentingan pensijilan ini,” ujarnya.

Nurul dalam pada itu turut menempelak kenyataan ADUN Seputeh itu yang mendakwa langkah pensijilan halal bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Jika benar kita serius mahu menjaga keharmonian negara dan menghormati agama majoriti, maka Teresa Kok seharusnya senyap daripada mengulas isu yang jelas di luar pengetahuannya.

“Sensitiviti agama adalah perkara yang tidak boleh dipandang remeh, dan campur tangan daripada pihak yang tidak memahami hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -