
KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci bagi menyiasat kebiadapan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengganggu urusan umat Islam terutamanya berkenaan isu halal baru-baru ini.
Ketua DPPNS, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, siasatan itu perlu mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, cadangan Menteri Hal Ehwal Agama untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan arak untuk mendapatkan sijil halal baru-baru ini adalah sangat tepat.
Beliau berkata, ia bertepatan dengan usaha bagi memastikan umat Islam lebih yakin dengan makanan yang dimakan, selain memastikan keselamatan makanan itu lebih terjamin.
“Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia, 1 daripada 10 manusia jatuh sakit akibat makan makanan tercemar. Realitinya, lebih 200 penyakit disebarkan melalui makanan tercemar ini.
“Maka, pensijilan halal ini bukan sahaja menjamin kehalalan suatu makanan tersebut, bahkan sudah pasti menjamin prosedur penyediaannya yang mementingkan kebersihan. Adakah Teresa tidak kisah dengan kualiti makanan yang dimakannya?” katanya dalam satu kenyataan.
Hakikatnya menurut beliau, jaminan keselamatan makanan sudah pun dilakukan melalui pensijilan GMP (Amalan Perkilangan Baik), HACCP (Titik Kawalan Kritikal Analisis Hazard) and ISO (Pertubuhan Penstandardan Antarabangsa) 22000.
Semua itu katanya memerlukan kos, tetapi itulah prosedur yang perlu dipatuhi demi memastikan produk makanan yang dikilangkan menepati piawai.
“Halal bukan sekadar jaminan keselamatan terhadap makanan, tetapi ia merupakan identiti dan prinsip umat Islam itu sendiri.
“Mencari makanan yang halal merupakan kewajipan setiap umat Islam.
“Bukan arak dan babi sahaja haram dalam Islam, bahkan suatu makanan itu dihukum haram sekiranya tidak menepati syariat Islam, seperti makan daging lembu yang tidak disembelih,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024




















