Isu jalan, longkang Taman Wira: Tiada penyelesaian JKR Persekutuan

Sistem perparitan di Taman Wira, Alor Setar, Kedah ini adalah di bawah seliaan JKR Persekutuan.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Masalah jalan dan longkang di Taman Wira pada musim banjir kilat ini, masih tiada penyelesaian oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi berkata, masalah perparitan dan banjir kilat adalah permasalahan utama yang membelenggu penduduk di Taman Wira sejak dulu lagi.

Menurut beliau, jalan dan longkang di Taman Wira ini adalah di bawah seliaan JKR Persekutuan.

- Advertisement -

“Isu ini seringkali dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Kota Setar sejak 2023 untuk memohon tindakan pihak berwajib untuk menyelia longkang tersumbat terutama di hadapan Masjid Ar-Rahman Taman Wira,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu juga, Pengerusi Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kerajaan Negeri Kedah, Dzowahir Ab Ghani bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengambil tindakan segera untuk membersihkan longkang tersebut.

“Hasil tindakan berterusan oleh Pusat Khidmat DUN dan Parlimen dan tindakan turun padang oleh Dzowahir Ab Ghani baru-baru ini bersama MBAS, membawa kepada tindakan segera daripada Bahagian Perkhidmatan Bandar MBAS yang membersihkan longkang sepanjang Taman Wira hingga ke Jalan Gangsa,” jelasnya.

Keadaan longkang yang tersumbat selepas hujan di Taman Wira, Alor Setar yang boleh menjadi punca kepada banjr kilat.

Tambah beliau, tindakan berkenaan adalah usaha Corporate Social Responsibility (CSR) yang digerakkan oleh beberapa anggota tenaga dari Unit Gerak Cepat untuk berjaya membersihkan laluan air longkang di sepanjang kawasan tersebut.

“Ada kawasan yang airnya melimpah dan bertakung sejak tiga minggu, hari ini dah surut.

“Namun, usaha ini bersifat jangka masa pendek. Dalam keadaan cuaca tidak menentu dan sampah sarap yang masih banyak, banjir kilat tetap akan berlaku lagi.

“Saya mohon JKR Persekutuan segera meluluskan peruntukan bagi membaik pulih sistem perparitan di Taman Wira,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -